- kumara885
- 18 Okt
- 1 min membaca

Harimau Malaya lonjak ke tangga 118 ranking dunia FIFA
PETALING JAYA, 18 Oktober – Aksi memberangsangkan skuad Harimau Malaya sehingga mencipta rekod tanpa kalah di peringkat antarabangsa pada tahun ini berjaya membantu pasukan itu melonjak lima anak tangga untuk berada pada kedudukan ke-118 dalam senarai terkini ranking yang dikeluarkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Dalam kemaskini terbaharu ranking FIFA hari ini, Malaysia didapati berjaya mengutip keseluruhan 1161.53 mata ekoran ciptaan kemenangan berganda ke atas pasukan Laos dalam aksi kelayakan Piala Asia 2027 awal Oktober ini.
Perkembangan terbaharu ini menjadi penyuntik semangat untuk anak buah bimbingan Peter Cklamovski untuk meneruskan momentum cemerlang apabila dijadualkan bertemu Nepal dalam aksi seterusnya di Stadium Nasional Bukit Jalil pada November depan.
Walaupun, sebelum ini skuad kebangsaan dikejutkan dengan penggantungan tujuh pemain warisan oleh FIFA selepas didakwa mengemukakan dokumen palsu, ia tidak menjatuhkan moral pasukan untuk terus fokus dan mencipta kejayaan dalam aksi antarabangsa.
Sementara itu, negara jiran Thailand masih kekal sebagai pasukan terbaik di Asia Tenggara apabila menghuni tangga ke-95 disusuli Vietnam di ranking ke-111 dunia.
Seteru Harimau Malaya iaitu Indonesia pula jatuh tiga anak tangga untuk menghuni tangga ke-123 apabila mengutip keseluruhan 1144.73 mata dan kekalahan mengejut 1-0 kepada Iraq dalam pusingan kelayakan Piala Dunia 2026 baru-baru ini menjadi penyumbang kepada kemerosotan tersebut.





Komen