Hujan lebat: 12 cedera lori Perhutanan masuk gaung
- S.KUMARA
- 24 Nov
- 1 min membaca

TAPAH – Sebuah lori milik Jabatan Perhutanan Negeri Perak terjunam ke dalam gaung selepas dipercayai hilang kawalan akibat hujan lebat yang melanda semalam di negeri tersebut.
Rentetan daripada insiden itu, seramai 12 mangsa melibatkan majoriti warga kerja Jabatan Perhutanan Perak dan malim gunung mengalami kecederaan dalam kejadian tersebut.
Insiden itu berlaku apabila pemandu lori jabatan itu tidak dapat mengawal kenderaan sebelum ia terjunam ke dalam gaung setinggi lima meter di Jalan Gunung Batu Putih-Hutan Lipur Kuala Woh di sini pada pukul 2.30 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Johari Yahya telah mengesahkan kejadian tersebut selepas dihubungi hari ini.
"Dalam kejadian itu, lori yang dipandu oleh seorang lelaki berumur awal 30-an itu dalam perjalanan pulang setelah selesai menjalankan tugas memasang papan tanda sekitar Gunung Batu Putih.
“Semasa menuruni jalan berbukit dengan situasi hujan lebat, tayar sebelah kiri lori disyaki telah tergelincir ke sebelah kiri jalan kerana keadaan jalan yang sempit dan licin sebelum hilang kawalan sebelum terbabas, berpusing beberapa kali sebelum jatuh ke dalam gaung sedalam lima meter.
“Kesemua yang terlibat dalam kemalangan ini telah berjaya keluar daripada lori dengan bantuan orang awam dan bomba,” katanya di sini pada Isnin.
Tambah beliau, kesemua 12 mangsa yang tercedera dalam insiden tersebut telah dirujuk segera ke Hospital Tapah untuk mendapat rawatan lanjut.
"Kita sedang menyiasat kes berkenaan di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," tegasnya lagi.-malaysiatoday





Komen