top of page

Hutang RM10,000, pendandan rambut dibogel, dipukul ah long

  • Editorial
  • 12 Nov
  • 2 min membaca
Pendandan Rambyt yang dibogel dan dipukul ah long kerana hutang RM10,000 semasa sidang media di KL
Pendandan Rambyt yang dibogel dan dipukul ah long kerana hutang RM10,000 semasa sidang media di KL

KUALA LUMPUR - Gara-gara gagal melunaskan pinjaman ah long kira-kira RM10,000, seorang pendandan rambut melalui detik menderita apabila dia ditampar, dipukul dan dibogelkan sekumpulan tiga lelaki di tandas sebuah pusat beli-belah di Subang Jaya dalam insiden pada Sabtu.


Lelaki yang dikenali sebagai Danish, 34, berkata, dia dihubungi ejen syarikat pemberi pinjaman wang tanpa lesen.


"Ejen itu kemudian mengarahkan saya untuk datang berjumpa bagi membincangkan cara untuk menyelesaikan pinjaman wang yang dibuat pada awal September lalu," katanya dalam sidang media di Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) di sini pada Rabu.


Menurut Danish, dalam kejadian pada jam 11.30 petang, beg, dompet serta telefon bimbit jenis Vivo turut dirampas tiga lelaki yang didakwa bersenjatakan pisau.


"Saya kemudian dibawa ke tandas berhampiran sebuah restoran makanan segera sebelum dipukul oleh suspek terbabit dan diarahkan membuka pakaian.


Dalam keadaan tidak berpakaian, tiga lelaki terbabit merakam video dan mengambil gambar," katanya.


Lelaki itu berkata, ah long itu kemudian bertindak berkongsikan video dan gambarnya dalam keadaan bogel itu kepada semua senarai kenalan dalam telefon bimbit termasuk kumpulan aplikasi WhatsApp.


"Kesan daripada tindakan suspek itu, saya menerima keaiban yang melampau dalam kalangan rakan tempat kerja, ahli keluarga dan saudara-mara," tegasnya.


Danis mendakwa dia hanya membuat pinjaman wang sebanyak RM1,000 namun sebaliknya hanya menerima RM500 selepas ah long memaklumkan bahawa RM500 lagi telah dipotong dan dikira sebagai caj servis.


"Hutang itu kemudian meningkat sebanyak RM300 sehari sekiranya RM1,000 yang dipinjam gagal dilunaskan dalam tempoh ditetapkan dan faedah baru sebanyak RM450 sejam akan dikenakan sekiranya caj lewat tiga hari turut gagal dijelaskan sehinggalah hutang saya sudah menjadi nilai keseluruhan RM10,000.


"Saya membuat pinjaman wang daripada ah long ini atas faktor kecemasan yang dihadapi pada masa itu dan kini saya menyesal atas langkah yang saya buat," katanya.


Katanya, dua laporan polis sudah dibuat berhubung kejadian berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya.


Komen


bottom of page