top of page
  • kumara885
  • 5 hari lalu
  • 2 min membaca
ree


KLUANG – Seorang wanita dan anak lelakinya meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya membabitkan tiga kenderaan di kilometer (KM) 65, Jalan Johor Bahru - Ayer Hitam pada petang Sabtu.


Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kejadian itu dipercayai berlaku pada jam 5.30 petang melibatkan sebuah kereta, van dan kenderaan pacuan empat roda.


Katanya, siasatan awal polis mendapati semasa kejadian sebuah kereta jenis Perodua Kancil yang dipandu seorang wanita warga tempatan berusia 51 tahun bersama dua anak lelakinya sedang dalam perjalanan dari Simpang Renggam menghala ke Kampung Bukit Kenangan.


“Selepas tiba di lokasi nahas, kereta terbabit telah berhenti untuk masuk ke simpang kanan, sebelum sebuah van kilang jenis Mazda dipandu seorang lelaki warga tempatan dari arah sama telah hilang kawalan dan melanggar bahagian belakang kereta yang dipandu wanita tersebut.


“Akibat perlanggaran itu, kereta Perodua Kancil tersebut telah memasuki laluan bertentangan dan dilanggar oleh sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang tidak sempat mengelak,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.


Tambah beliau, keadaan itu menyebabkan pemandu kereta bersama penumpang hadapan iaitu anak lelakinya berusia 15 tahun mengalami kecederaan parah di bahagian kepala serta badan sebelum meninggal dunia di lokasi nahas.


"Manakala, seorang lagi anak lelakinya berusia sembilan tahun cedera parah di bahagian kepala dan kaki kiri.


"Manakala, pemandu van pula mengalami kecederaan di bahagian muka, dada dan kaki kanan sementara pemandu kenderaan pacuan empat roda, mengalami kecederaan ringan di bahagian badan dan tangan kanan.


“Kesemua mangsa yang cedera dikejarkan ke Hosptial Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang dengan ambulans bagi menerima rawatan lanjut.


Kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.


“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kemalangan tersebut boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang di talian 07-7784222, 07-7784256 (direct line), 07-7766822 (hotline) atau 014-365682 (tablet DCC) bagi membantu siasatan," tegasnya lagi.


Komen


bottom of page