top of page

Imigresen tawar ganti pasport percuma kepada mangsa banjir

  • S.KUMARA
  • 27 Nov
  • 1 min membaca
ree

Imigresen tawar ganti pasport percuma kepada mangsa banjir


PUTRAJAYA - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menawarkan penggantian Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) secara percuma kepada mangsa yang kehilangan atau mengalami kerosakan dokumen akibat bencana banjir yang sedang dihadapi di seluruh negara.


Ketua Pengarahnya Datuk Zakaria Shaaban berkata, inisiatif ini bertujuan memudahkan urusan mereka yang terjejas serta memastikan keperluan perjalanan dan urusan rasmi dapat diteruskan tanpa sebarang halangan.


"Mangsa yang pasportnya hilang atau rosak akibat bencana banjir boleh mengemukakan permohonan penggantian pasport tanpa sebarang bayaran di mana-mana Pejabat JIM yang berdekatan dengan mereka.


"Syarat bagi penggantian pasport percuma ini mereka perlu memastikan pasport masih sah dan tidak kurang dari enam bulan, membawa kad pengenalan dan pasport asal sekiranya masih ada.


"Mangsa banjir juga dikehendaki menyerahkan salinan laporan polis (bagi kehilangan PMA) dan menyerahkan laporan pengesahan bencana banjir daripada Jabatan Bomba

atau Pihak Berkuasa Tempatan," katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan di sini pada Khamis.


Tambah beliau, untuk sebarang pertanyaan lanjut, pemohon boleh hadir ke Pejabat Imigresen berhampiran bagi mendapatkan maklumat dan bantuan selanjutnya.


Katanya lagi, JIM kekal komited memberikan perkhidmatan terbaik serta memastikan kebajikan rakyat sebagai keutamaan.


"Diharapkan inisiatif ini dapat meringankan beban yang ditanggung mangsa banjir dan membantu mereka kembali mengurus kehidupan harian dengan lebih mudah dan teratur," tegas beliau.- malaysiatoday.com.my



Komen


bottom of page