Insiden tembak: Polis jumpa lima kesan tembakan, empat kelongsong peluru
- S.KUMARA
- 28 Nov
- 1 min membaca

SEREMBAN - Satu kejadian kes tembak dilaporkan berlaku di sebuah rumah di Taman Bandar Seremban Selatan, di sini pada pagi Khamis.
Bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan nyawa dilaporkan dalam kejadian yang berlaku pada jam 2 pagi itu.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim yang mengesahkan maklumat itu berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai insiden itu sekitar jam 1.53 petang daripada seorang lelaki.
"Anggota polis bertugas di Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Seremban telah terima panggilan MERS 999 daripada pengadu berusia 30-an yang memaklumkan kejadian tembakan pada kereta dan rumah di taman perumahan terbabit.
"Siasatan awal mendapati, semasa kejadian penghuni rumah itu ada, tapi hanya menyedari kejadian berlaku pada waktu siang apabila ternampak kesan tembakan pada kereta dan rumah," katanya dalam satu kenyataan di sini.
Tambah Azahar lagi, hasil siasatan polis di lokasi kejadian mendapati, suspek dipercayai melepaskan tembakan dari luar rumah menggunakan senjata api disyaki jenis semi auto.
Malah katanya, pemeriksaan lanjut polis di lokasi juga membawa kepada penemuanempat kelongsong peluru di atas jalan hadapan rumah dan lima kesan tembakan pada dinding, bingkai pintu, pintu, siling dan cermin kereta.
"Polis masih memburu suspek yang melakukan jenayah tersebut dan kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 3 Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
"Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana yang terlibat dan siasatan menyeluruh sedang dilakukan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,"katanya.
"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi terus talian Hotline IPD Seremban 06-6033222," tegasnya lagi.





Komen