top of page

Jangan pulau, bekas penagih layak jalani kehidupan lebih baik

  • Editorial
  • 20 Nov
  • 2 min membaca
Ruslin berucap di program Ramah Mesra Ketua Pengarah AADK bersama Media 2025 di Putrajaya. FOTO: Ihsan AADK
Ruslin berucap di program Ramah Mesra Ketua Pengarah AADK bersama Media 2025 di Putrajaya. FOTO: Ihsan AADK


PUTRAJAYA - Setiap insan di dunia ini layak hidup bermasyarakat, jika kita pulaukan bekas penagih yang pulih dari rawatan tanpa memberikan peluang kedua untuk insaf dan hidup berkeluarga serta bermasyarakat, siapa lagi akan membela insan ini?

Itu harapan tinggi dan seruan Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Datuk Ruslin Jusoh kepada masyarakat agar bekas penagih dadah yang sudah menjalani rawatan pemulihan perlu diberikan peluang kedua untuk masuk semula ke dalam masyarakat tanpa perlu menghadapi stigma negatif orang ramai.


Katanya, penerimaan masyarakat amnya dan keluarga khususnya adalah faktor utama memastikan mereka yang sudah insaf tidak kembali terjatuh dalam sarang dadah.


"AADK mengambil masa dua tahun merawat mereka, namun apabila mereka pulang, masyarakat perlu menerima mereka dengan hati terbuka tanpa stigma negatif.


"Jika masyarakat menolak mereka, risiko untuk kembali menagih adalah tinggi kerana mereka tiada harapan di luar.


"Kita menggunakan media bagi menyampaikan maklumat ini dan mendidik masyarakat supaya memberi peluang kedua kepada bekas klien AADK untuk membina kehidupan lebih baik dan terjamin tanpa kekangan," katanya dalam sidang media Program Ramah Mesra Ketua Pengarah AADK Bersama Media 2025, semalam.


Tambah beliau, sepanjang menjalani rawatan di Pusat Penagihan Narkotik (PUSPEN), klien didedahkan dengan pelbagai kemahiran vokasional yang relevan bagi memenuhi kehendak industri.


Justeru katanya, antara kemahiran vokasional yang diajar ialah kemahiran kimpalan, menjahit, pertanian, membuat kek, membuat kuih, memasak dan mereka turut didedahkan kepada kelas kerohanian serta keagamaan.


"Ramai antara mereka layak bekerja apabila keluar, kita juga menjalinkan kerjasama dengan syarikat luar yang datang memberi taklimat dan menawarkan peluang pekerjaan.


"Data menunjukkan mereka yang mendapat pekerjaan selepas keluar mempunyai kadar 'relapse' yang lebih rendah.


"Pemilihan latihan juga berdasarkan minat klien, mereka tidak dipaksa memilih satu bidang sahaja, program dijalankan secara terbuka," ujarnya lagi.


Tegas Ruslin, AADK sudah menjalin kerjasama dengan beberapa syarikat tempatan yang menyediakan tempat pekerjaan di dalam organisasi mereka.- malaysiatoday


Komen


bottom of page