top of page

Jalan utama, lebuh raya di KL ditutup 26-28 Oktober ini sempena Sidang Kemuncak ASEAN

  • kumara885
  • 15 Okt
  • 2 min membaca
Beberapa Jalan dan Lebuhraya di KL akan ditutup sempena Sidang Kemuncak ASEAN
Beberapa Jalan dan Lebuhraya di KL akan ditutup sempena Sidang Kemuncak ASEAN

KUALA LUMPUR, 15 Oktober- Beberapa jalan utama dan lebuh raya di ibu negara bakal ditutup secara berperingkat bermula dari tarikh 26 hingga 28 Oktober ini sebagai memberi laluan kelancaran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.


Dalam satu hantaran di media sosial, The Kuala Lumpur Command and Control Centre (KLC3), menyatakan penutupan jalan itu akan dibuat secara berkala, biasanya antara 30 hingga 45 minit bagi melancarkan pergerakan konvoi delegasi peringkat tertinggi sepanjang tempoh sidang kemuncak berlangsung di pusat bandar raya.


Berdasarkan KLC3, sebanyak 14 jalan-jalan utama di sekitar Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dan pusat bandar yang terlibat dalam penutupan iaitu Jalan Ampang, Jalan Sultan Ismail; Jalan P.Ramlee; Jalan Pinang; Jalan Binjai; Persiaran KLCC; Jalan Tun Razak; Jalan Parlimen; Jalan Bukit Bintang; Jalan Imbi; Jalan Damansara; Jalan Istana; Jalan Kuching dan Jalan Perak.


Manakala, sebanyak enam persimpangan utama dijangka turut terkesan iaitu Jalan Ampang–Jalan P Ramlee; Jalan Sultan Ismail–Jalan P Ramlee; Jalan Perak–Jalan P Ramlee; Jalan Perak–Jalan Pinang; Jalan Stonor–Jalan Kia Peng dan Jalan Stonor–Persiaran KLCC.


"Selain itu, laluan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Subang ke pusat bandar serta Lebuhraya Lingkaran Putrajaya dan Lebuhraya KLIA juga akan mengalami penutupan sementara bagi memberi laluan kepada konvoi rasmi sempena ASEAN Summit," menurut hantaran berkenaan.


Dalam perkembangan sama beberapa lebuh raya utama yang turut terbabit penutupan ialah Lebuhraya Maju (MEX); Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dari Sungai Buloh ke Jalan Duta; Lebuhraya Elite (KLIA–Putrajaya); Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) dari Subang ke Jalan Duta; Lebuhraya Koridor Guthrie (Guthrie) dan Lebuhraya KL–Seremban dari Sungai Besi ke Pusat Bandar.


"Kawasan 'segi tiga emas' di sekitar KLCC dijangka mengalami gangguan lalu lintas yang paling kerap.


"Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan untuk mengelakkan laluan-laluan yang tersenarai dan menggunakan pengangkutan awam seperti MRT, LRT, Monorel dan bas sepanjang sidang kemuncak ASEAN berlangsung," tambah kenyataan KLC3 itu.


Kenyataan itu turut menyebut bahawa kenderaan berat juga tidak dibenarkan memasuki pusat bandar pada waktu puncak sidang kemuncak tersebut dan kerjasama semua pihak penting bagi memastikan keselamatan dan kelancaran lalu lintas sepanjang acara tiga hari tersebut.


Maklumat tentang penutupan jalan ini akan dikemas kini dari semasa ke semasa dan orang ramai boleh melayari portal rasmi ASEAN 2025 di www.myasean2025.my atau mengikuti laman Facebook rasmi, Aseanmy untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkembangan terkini.


Sidang kemuncak ini bakal menghimpunkan semua 10 ketua negara ASEAN dan rakan dialog serta pemimpin dunia yang dijemput, termasuk Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan berkemungkinan menyaksikan kehadiran Perdana Menteri India, Narendra Modi dan Presiden Rusia Vladimir Putin.


Dalam pada itu Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam sidang media di sini berkata, polis akan berada dalam keadaan berjaga-jaga tinggi dari 23 hingga 28 Oktober ini.


"Polis akan menggerakkan kira-kira 16,000 anggota dari seluruh negara, khususnya dari negeri-negeri bersempadan dengan Kuala Lumpur, bermula 23 Oktober bagi membantu dan melancarkan aliran trafik.


Kata beliau, Pusat Bandaraya Kuala Lumpur akan ditutup sepenuhnya dan polis tidak akan berkompromi terhadap aspek keselamatan.


Komen


bottom of page