Jam poket emas pasangan Titanic terjual pada harga £1.78 juta
- Editorial
- 27 Nov
- 1 min membaca

LONDON - Sebuah jam poket emas milik pasangan warga emas yang lemas ketika tragedi tenggelamnya Titanic berjaya dijual pada harga £1.78 juta (AS$2.3 juta) dalam satu acara lelongan, lapor PA Media/dpa.
Jurulelong berkata, harga itu merupakan jumlah tertinggi pernah dibayar bagi "memorabilia Titanic".
Rekod sebelum ini dicatatkan tahun lalu apabila sebuah lagi jam poket emas yang dihadiahkan kepada kapten bot yang menyelamatkan lebih 700 penumpang terjual pada harga £1.56 juta.
Jam 18 karat buatan Jules Jurgensen itu dimiliki penumpang kelas pertama Isidor Straus, yang lemas ketika Titanic karam pada April 1912 sehingga meragut 1,500 nyawa.
Beliau dan isterinya, Ida, turut digambarkan dalam filem blockbuster Titanic arahan James Cameron pada 1997 sebagai pasangan yang saling berpelukan ketika kapal itu karam.
Jam itu ditemukan bersama beberapa barangan peribadi lain pada tubuh Straus dan kemudiannya dipulangkan kepada keluarganya.
Beliau menerima jam itu sebagai hadiah hari lahir ke-43 pada 1888, iaitu tahun yang sama beliau menjadi rakan kongsi di gedung beli-belah Macy’s di New York.
Jam berkenaan, yang kekal dalam simpanan keluarga Straus selama lebih seabad, dilelong oleh Henry Aldridge & Son Auctioneers di Devizes, Wiltshire.
Sepucuk surat tulisan tangan oleh Ida di atas kertas rasmi Titanic dan dipos ketika berada di atas kapal terjual pada harga £100,000.
Senarai penumpang Titanic pula dibeli dengan harga £104,000 manakala pingat emas yang dianugerahkan kepada kru RMS Carpathia oleh mangsa terselamat terjual pada £86,000. - Agensi





Komen