Jamawi tak kisah dicop 'katak politik', tanding sebagai calon PH atas permintaan PM
- Editorial
- 24 Nov
- 2 min membaca

TENOM - Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap, Datuk Jamawi Jaafar menafikan dakwaan kononnya beliau ‘melompat’ parti sekali lagi apabila bertanding menggunakan tiket Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 kali ini.
Beliau tidak segan digelar 'katak' politik kerana bertanding atas tiket PH kali ini selepas pernah mewakili Barisan Nasional, kemudian ke Warisan dan Gagasan Rakyat Sabah (GRS) sebelum ini.
Jamawi berkata, langkah berkenaan bukan keputusan peribadi seperti digambarkan sesetengah pihak.
"Sebaliknya atas permintaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri yang mahu saya mewakili PH di kawasan berkenaan.
"Ini antara isu yang dimomokkan oleh pihak pembangkang tetapi kebanyakan rakyat tahu kali ini saya bukan melompat.
"Kali ini adalah permintaan daripada Perdana Menteri kepada Ketua Menteri supaya saya bertanding atas tiket PH.
"Walaupun saya ketika itu adalah Ketua Bahagian Gagasan Rakyat (Gagasan Rakyat) di kawasan Melalap tetapi Ketua Menteri kita bersetuju atas kehendak daripada Perdana Menteri. Supaya akan ada wakil yang dapat membawa isu-isu pembangunan, ekonomi dan sebagainya ke Putrajaya kepada pucuk pimpinan di peringkat Persekutuan," katanya seperti dilaporkan oleh media Sinar Harian semasa berkempen di Kampung Loboh pada Ahad.
Tambah Jamawi, itulah yang beliau telah jelaskan kepada masyarakat di kawasan Melalap mengenai status beliau bertanding (tiket PH) dan mereka memahami bahawa ada kebaikan untuk kita dapat paip kecil daripada kerajaan negeri dan juga paip besar daripada Persekutuan supaya kita akan dapat membela lebih ramai masyarakat di luar bandar.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cabaran dalam saingan lapan penjuru kali ini, meskipun beliau satu-satunya calon yang pernah menjadi wakil rakyat, namun berdepan sentimen berkaitan tindakannya menukar parti pada episod politik sebelum ini.
Susulan itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri kerana memilihnya sebagai calon di kawasan tersebut, selain melihat peluang kerjasama lebih erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan dalam membawa pembangunan ke pedalaman Sabah.
"Saya menerima maklum balas yang positif daripada rakyat di kawasan Melalap apabila kali pertama seorang Perdana Menteri sampai ke Pekan Melalap. Jadi apabila beliau menyatakan bahawa Melalap ini dekat di hati dia dan Perdana Menteri sempat berbisik kepada saya, Jamawi menang, awak bawa harapan rakyat kepada saya.
"Yang ini satu jaminan untuk kita membela dan juga membawa isu-isu rakyat yang mungkin untuk kita percepatkan kelulusannya di peringkat Persekutuan," tegasnya lagi.





Komen