top of page

Jurujual wanita mati dibunuh, suspek kelima ditahan polis

  • S.KUMARA
  • 7 Nov
  • 2 min membaca
Suspek kelima ditahan bantu siasatan jurujual wanita dibunuh di Seri Kembangan Oktober lepas
Suspek kelima ditahan bantu siasatan jurujual wanita dibunuh di Seri Kembangan Oktober lepas

SERDANG - Polis telah menahan seorang lagi suspek bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang jurujual wanita yang ditemui mati dalam keadaan bogel dan tangan terikat berhampiran bulatan Blue Water Estate, Seri Kembangan, Selangor, Oktober lepas.


Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata tangkapan terbaharu itu membabitkan seorang lelaki tempatan sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan suspek yang ditahan setakat ini adalah seramai lima orang.


Katanya, suspek kelima itu direman selama lima hari sehingga 10 November ini bagi membantu siasatan lanjut dalam kes tersebut yang diklasifikasi sebagai bunuh.


"Sebelum ini kita menahan tiga suspek lelaki dan direman selama lima hari bagi reman pertama sebelum tempoh reman dilanjutkan lagi selama tiga hari bagi kali kedua yang tamat pada 7 November (esok).


"Suspek keempat iaitu seorang wanita juga direman lima hari bagi reman pertama dan disambung tiga hari lagi bagi reman kedua yang tamat Sabtu ini," katanya dalam kenyataan lewat petang Khamis.


Untuk rekod, tiga lelaki yang ditahan dalam serbuan Jumaat lalu membabitkan bekas teman lelaki dan abang angkat mangsa berusia antara 24 hingga 30 tahun.


Suspek keempat yang juga wanita berusia 30-an pula adalah rakan serumah mangsa di kawasan kediaman di Taman Castlefield, Cheras, di sini.


Tambah Muhamad Farid, laporan bedah siasat berhubung punca kematian masih belum diperoleh kerana menunggu keputusan analisis makmal.


Justeru katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti motif sebenar pembunuhan wanita tersebut.


Mayat mangsa berusia 24 tahun dan bekerja sebagai jurujual di sebuah pasar raya di Ampang dan kedai serbaneka di Bukit Bintang, ditemui orang awam pada jam 3.45 petang, 29 Oktober lalu selepas terhidu bau mencurigakan ketika melalui kawasan Jalan Anggerik, Seri Kembangan.


Siasatan kes sedang dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun jika disabitkan kesalahan.- malaysiatoday


 
 
 

Komen


bottom of page