top of page

Kami hormati keputusan MIC mahu keluar BN - Ahmad Zahid

  • S.KUMARA
  • 19 Nov 2025
  • 2 min membaca


KUALA LUMPUR - Barisan Nasional menghormati keputusan parti komponen ketiga terbesar komponen itu, MIC yang membuat keputusan untuk meninggalkan gabungan itu selepas lebih enam dekad negara mencapai kemerdekaan.


Pengerusinya, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi berkata,beliau menghomati sepenuhnya segala keputusan yang dibuat perwakilan dan kepimpinan tertinggi MIC dalam Perhimpunan Agung parti itu yang diadakan 16 November lalu di Shah Alam.


Presiden UMNO itu juga menjelaskan bahawa beliau sememangnya mengikuti rapat perbahasan dalam perhimpunan MIC dan menganggap apa juga keputusan yang dicapai adalah hak dan autonomi MIC sebagai sebuah parti komponen dalam BN.


"Saya menghormati apa juga keputusan yang dibuat oleh perwakilan dan kepimpinan MIC dan saya tidak berhajat untuk mencampuri hal ehwal dalaman mereka (MIC).


"Apa juga keputusan yang akan dibuat oleh mereka, kita menerimanya dengan lapang dada dan hati yang terbuka," katanya selepas menyampaikan ucaptama Sidang Kemuncak Ekonomi & Teknologi Cina Global (GCET 2025) di ibu negara pada Rabu yang turut dihadiri

Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong.


Beliau turut diminta mengulas tentang saranan Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan yang mahu mengatur perjumpaan dengan pimpinan tertinggi MIC untuk perbincangan lanjut.


Sebagai menjawab pertanyaan itu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri menyifatkan langkah yang dicadangkan oleh Timbalan Presiden UMNO itu sebagai pendekatan terbaik.


"Itu (perbincangan) adalah satu pendekatan yang baik. Dan apa pun keputusan yang akan dibuat, terserah kepada parti berkenaan (MIC)," ujar beliau lagi.


Pada Ahad lalu, Perhimpunan Agung MIC ke-79 telah menangguhkan keputusan sama ada parti itu mahu keluar atau kekal bersama BN selepas Timbalan Presidennya, Datuk Seri M Saravanan membentangkan tiga usul, termasuk cadangan untuk meninggalkan gabungan berkenaan dan membuat permohonan menyertai gabungan pembangkang.


Pada hari sama, Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran pula dilaporkan berkata, ketiga-tiga usul termasuk keluar daripada BN telah diterima dan diserahkan kepada pimpinan Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) untuk tindakan selanjutnya.


Vigneswan yang juga bekas Yang DiPertua Dewan Negara menyatakan bahawa MIC kekal memberikan sokongan padu kepada kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga mandat beliau berakhir sepenuhnya tanpa mengira apa jua keputusan politik yang bakal diputuskan kelak. - malaysiatoday


Komen


bottom of page