top of page

Kedah akan mulakan proses undang-undang isu pajakan P. Pinang

  • S.KUMARA
  • Nov 10
  • 1 min membaca
MB Kedah akan mulakan saman perundagan dalam isu pajakan Pulau Pinang
MB Kedah akan mulakan saman perundagan dalam isu pajakan Pulau Pinang

ALOR SETAR: Kerajaan negeri Kedah dilaporkan sedang dalam fasa terakhir untuk memuktamadkan pelantikan pasukan guaman bagi memulakan tindakan perundangan berhubung isu kedudukan dan hubungan negeri itu dan Pulau Pinang.


Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, langkah itu diambil susulan keprihatinan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah yang menzahirkan keperluan supaya isu berkenaan dijelaskan secara telus termasuk perkara berkaitan pajakan.


Katanya lagi, sebagai menjunjung titah baginda sultan, kerajaan negeri sudah melantik pasukan penyelidik terdiri daripada pakar sejarah dan perundangan untuk menjalankan kajian komprehensif mengenai perkara tersebut.


"Ini termasuk melaksanakan analisis mendalam, penyediaan dokumen serta memulakan proses tindakan perundangan di mahkamah.


"Pasukan guaman yang dilantik telahpun menyiapkan kajian dan laporan akhir mereka telah dibentangkan kepada Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli Dewan Undangan Negeri serta Ahli Parlimen yang berkaitan pada 15 April yang lalu.


"Pada masa ini, kerajaan negeri pada peringkat memuktamadkan lantikan peguam bagi melaksanakan analisis, penyediaan dokumen serta proses perundangan di mahkamah.


"Insya-Allah perkembangan selanjutnya akan menyusul dalam tempoh sebulan dua lagi," katanya semasa membentangkan Belanjawan Kedah Tahun 2026 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, di Wisma Darul Aman di sini pada Isnin.


Tambah Muhammad Sanusi lagi, kerajaan negeri turut menzahirkan penghargaan atas perhatian yang diberikan oleh Tuanku Sultan terhadap isu itu dan memastikan setiap langkah diambil berpaksikan fakta sejarah serta landasan perundangan yang sah.


Pada 2021, kerajaan Kedah dilaporkan telah menuntut bayaran royalti pajakan Pulau Pinang sebanyak RM100 juta daripada Kerajaan Persekutuan selepas ia didakwa tidak pernah dinilai semula sejak tahun 1786. - malaysiatoday


Komen


bottom of page