Kelantan senarai hitam, batal keahlian madrasah terlibat gubahan wang haram
- kumara885
- 24 Okt
- 2 min membaca

KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana madrasah, pondok atau institusi pengajian Islam di negeri ini yang didapati terbabit dalam kegiatan pengubahan wang haram atau salah guna dana kutipan orang ramai.
Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Mohd Asri Mat Daud berkata, mana-mana institusi yang terbukti melakukan kesalahan berkenaan akan disenarai hitam dan keahlian di bawah Pusat Pembangunan Pondok Berhad (PPPB) dibatalkan serta-merta.
“Kita juga akan minta pihak polis mengambil tindakan tegas sekiranya benar ada pondok atau madrasah yang terbabit dalam pengubahan wang haram.
“Jaheaik (Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan) akan turun ke pondok terlibat untuk siasatan lanjut, memanggil pengurusan dan mengumpul bukti lengkap. Jika sahih, tindakan pembatalan serta penutupan pondok akan dibuat,” katanya semasa sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco di Kota Darulnaim di sini pada Rabu.
Menurut beliau, setakat ini kerajaan negeri tidak menerima sebarang laporan rasmi berhubung isu berkenaan.
Ujarnya, jika ada sekalipun kes berkaitan ajaran sesat yang didakwa berlaku di salah sebuah madrasah di Tumpat dan ia dilaporkan sekitar tahun 2022.
Mohd Asri memberitahu, bagaimanapun kes tersebut tidak menemui bukti kukuh, namun isu itu kembali timbul baru-baru ini.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, di Kelantan terdapat 64 pondok di seluruh negeri di mana 50 daripadanya berdaftar di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), manakala selebihnya belum berdaftar.
"Sebanyak 145 institusi pengajian Islam kini berdaftar di bawah MAIK termasuk pondok, maahad tahfiz dan sekolah agama.
"Kerajaan negeri mengalu-alukan semua institusi pengajian Islam untuk berdaftar di bawah MAIK bagi memudahkan pemantauan dan memastikan tiada unsur jenayah atau penyimpangan akidah berlaku.
“Kita terlalu banyak sekolah dan pusat pengajian Islam swasta di Kelantan. Sebab itu penting untuk mereka berdaftar supaya mudah dipantau dan dielak timbul perkara bertentangan dengan syariah,” katanya.





Komen