Kembali ke UMNO: KJ minta tempoh beberapa minggu untuk beri jawapan
- kumara885
- 4 Nov
- 1 min membaca

SHAH ALAM - Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin meminta diberikan tempoh masa selama beberapa minggu sebelum bersedia menjawab mengenai hasratnya untuk menyertai semula parti berkenaan.
Beliau berkata, tempoh itu diperlukan selepas menerima banyak pertanyaan bagi mendapatkan penjelasannya berhubung perkara tersebut.
“Ramai yang telah menghantar mesej bertanya apa yang sedang berlaku? Beri saya beberapa minggu sebelum saya bersedia untuk menjawab,” katanya menerusi hantaran di akaun Instagram pada Ahad.
Dalam hantaran sama, Khairy yang juga bekas Menteri Kesihatan turut menyertakan laporan media yang memetik kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Bung Moktar berkata, Khairy seharusnya kekal komited kepada UMNO sekiranya membuat keputusan untuk kembali menyertai parti itu dan tidak meninggalkan parti berkenaan sekali lagi.
Khairy turut menegaskan bahawa beliau tidak pernah meninggalkan UMNO, sebaliknya dipecat oleh kepimpinan parti.
“Sementara itu, ada beberapa pihak yang memberi komen tentang berita tersebut, biar saya jelaskan, saya tidak pernah meninggalkan UMNO, kalian yang memecat saya. Tolong jangan cuba mengubah sejarah.
“Bukti banyak di internet, jangan buta huruf sangat,” katanya lagi.





Komen