top of page

Keputusan Najib dipenjara di rumah atau Penjara Kajang diawalkan ke 22 Disember

  • EDITOR
  • 25 Nov
  • 2 min membaca
ree

KUALA LUMPUR - Tarikh keputusan bagi menentukan sama ada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak boleh memaksa kerajaan atau enam pihak lain di Mahkamah Tinggi di sini untuk melaksanakan Titah Adendum bagi membolehkannya menjalani hukuman penjara di rumah atau sebaliknya telah diawalkan kepada 22 Disember depan.


Sebelum ini mahkamah telah menetapkan tarikh asal keputusan kes itu pada 5 Januari 2026.


Bagaimanapun, ia telah diawalkan beberapa hari menjelang sambutan Hari Krismas pada Disember depan.


Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan mengesahkan tarikh itu selepas prosiding pengurusan kes dibuat secara dalam talian di hadapan Hakim Alice Loke Yee Ching.


Berdasarkan surat yang dialamatkan kepada Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Syeela Marlina Uttaman, pihak firma guaman Shafee & Co yang mewakili Najib, 72, memohon mahkamah mempertimbangkan semula tarikh keputusan tahun hadapan.


Surat itu menyebut bahawa bekas Ahli Parlimen Pekan terbabit telah menjalani hukuman di Penjara Kajang hampir dua tahun lalu sejak Titah Adendum dikeluarkan.


Jelasnya lagi, ia melebihi perkara yang sepatutnya berlaku kerana titah berkenaan jelas memperuntukkan bahawa Najib boleh menjalani baki hukuman penjara di rumah.


“Sehingga hari ini, Najib masih ditahan di penjara disebabkan perjalanan prosiding ini.


“Setiap hari yang dihabiskan dalam tahanan merupakan hari yang tidak akan dapat dikembalikan kepadanya,” katanya.


Lebih-lebih lagi, surat itu menyatakan bahawa pada 13 Ogos lalu, bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim memerintahkan prosiding ini dimuktamadkan sebelum 14 September.


Katanya, Hasnah menekankan kepentingan menyelesaikan perkara berkenaan dengan segera memandangkan ia melibatkan isu kebebasan seorang individu.


Menurut beliau, penahanan yang berterusan ini menafikan kebebasan seseorang dan bertentangan dengan Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan yang bukan sahaja melindungi kebebasan fizikal tetapi juga maruah serta keselamatan individu.


Katanya lagi, penahanan yang begitu lama menyebabkan Najib mengalami tekanan emosi yang serius, trauma dan kemerosotan ketara terhadap keadaan mental serta kesejahteraannya secara keseluruhan.


Surat itu juga menyatakan bahawa perkara tersebut dibawa ke mahkamah kerana tarikh keputusan kian menghampiri tempoh dua tahun sejak Titah Adendum yang sepatutnya dikuatkuasakan terhadap bekas Presiden UMNO itu.


“Dalam keadaan luar biasa ini dan atas arahan tegas anak guam yang semakin tertekan oleh kelewatan yang berpanjangan, kami dengan rendah diri dan penuh hormat memohon

mahkamah mempertimbangkan semula serta mempercepatkan tarikh keputusan,” kata surat tersebut.- malaysiatoday

Komen


bottom of page