Kereta anak terbabas, pasangan warga emas maut
- S.KUMARA
- Nov 23
- 2 min membaca

JASIN - Sepasang suami isteri warga emas maut selepas kereta yang dipandu anak mereka hilang kawalan dan terbabas serta melanggar penghadang jalan dalam nahas yang berlaku di Lebuh AMJ Sungai Rambai, di sini pada Sabtu.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.45 petang itu, kemalangan itu melibatkan sebuah kereta Toyota Vios dipandu seorang wanita berusia 46 tahun membawa ibu bapanya.
Sumber Bomba memberitahu bahawa kemalangan berlaku ketika keluarga itu dalam perjalanan dari arah Jasin menuju ke Muar sebelum kenderaan tersebut hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan lalu merempuh besi penghadang.
"Akibat kejadian itu, pemandu cedera di bahagian hidung, dagu dan badan dan kini menerima rawatan di zon kuning Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar.
"Kedua-dua ibu bapanya yang berusia 87 tahun dan 79 tahun, yang berada di dalam kereta sama, mengalami kecederaan parah di kepala dan badan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Jasin Pemangku Superintenden Lee Robert mengesahkan kejadian tersebut.
Jelasnya, kes sedang disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Terdahulu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Merlimau, PBK I Mohd Sukur Md Ali memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.23 petang sebelum tiba di lokasi kira-kira sembilan minit kemudian.
"Sebaik tiba di lokasi kejadian mendapati anggota menemukan tiga mangsa masih terperangkap di dalam kereta yang remuk akibat hentaman kuat.
“Pasukan operasi segera menjalankan kerja menyelamat dan berjaya mengeluarkan pemandu yang cedera sebelum diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk dibawa ke hospital.
"Dua lagi mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian. Kes diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," ujar beliau lagi.





Komen