- kumara885
- 6 hari lalu
- 1 min membaca

GEORGE TOWN – Tiga lagi lelaki warga asing ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan seorang wanita dan anak perempuannya dalam insiden di sebuah rumah di Kampung Sekolah Juru, di sini pada Sabtu minggu lalu.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, kesemua suspek ditahan pada Jumaat dan akan direman di mahkamah esok bagi membantu siasatan lanjut.
“Kami mempunyai tiga tangkapan baharu dan mereka akan dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman esok.
“Semuanya warga asing berusia dalam lingkungan 30-an dan 40-an serta saling mengenali. Mereka dipercayai melarikan diri sebelum ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Dalam pada itu, Azizee turut memaklumkan bahawa suami mangsa berusia 57 tahun yang direman sejak Ahad lalu dijangka dibebaskan dengan jaminan polis esok.
Sebelum ini, tiga individu termasuk suami wanita berkenaan telah ditahan bagi membantu siasatan kes tersebut.
Pada Sabtu, seorang peniaga kuih, Sariya Che Hin dan anak angkatnya, Nur Afrina Alisha Abdul Rahim, 11, ditemui maut dipercayai dibunuh. Mayat mereka ditemui oleh suami mangsa kira-kira jam 7.30 malam di rumah sewa mereka.




Komen