top of page

Kontena buah, pulau tidak berpenghuni jadi taktik sindiket seludup dadah

  • EDITOR
  • 21 Nov
  • 1 min membaca
ree

SHAH ALAM - Kaedah tinggal dadah di pulau yang tidak berpenghuni dan menggunakan kontena bermuatan kargo seperti buah-buahan dan sayuran dari negara jiran antara taktik licik yang digunakan oleh sindiket penyeludupan dadah telah dikesan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).


Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata, dalam tempoh 10 bulan pertama sehingga Oktober tahun ini, pihaknya berjaya merekodkan sebanyak 594 kes dadah dengan nilai rampasan mencecah RM459.3 juta.


Katanya, sindiket penyeludupan dadah menggunakan pelbagai modus operandi seperti perkhidmatan kurier yang menggunakan nama dan alamat palsu untuk penghantaran bungkusan.


"Selain itu, kita juga mengesan penyeludupan melalui pintu masuk sempadan negara dengan menggunakan individu yang membawa kenderaan.


"Sindiket penyeludupan menggunakan ‘keldai dadah’ atau individu tertentu yang menyeludup menggunakan bagasi yang disimpan dalam kenderaan," ujarnya.


Selain itu katanya, terdapat juga taktik menggunakan kenderaan yang diubah suai dengan mewujudkan ruangan khas bagi menyembunyikan dadah.


"Penyeludupan menggunakan kontena-kontena yang bermuatan kargo seperti buah-buahan, sayuran dan makanan basah dari negara jiran juga dikesan dengan cara menyelitkan dadah bersama-sama komoditi berkenaan," katanya di sini pada Jumaat.


Tambah beliau, modus operandi lain yang digunakan oleh sindiket dadah ialah kaedah 'drop point' iaitu meninggalkan dadah di lokasi tertentu untuk diambil oleh individu lain sebelum diedarkan kepada pelanggan mereka.


Jelasnya, taktik sedemikian turut merangkumi tindakan meninggalkan dadah di pulau-pulau yang tidak berpenghuni bagi mengelakkan pengesanan oleh pihak berkuasa.



Komen


bottom of page