Koperal mengaku tidak bersalah samun dua kedai runcit
- Editorial
- 2 Dis
- 2 min membaca

KOTA BHARU - Seorang anggota polis berpangkat Koperal dari unit Kereta Peronda Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada pagi Selasa atas pertuduhan menyamun dua kedai runcit pada November lalu.
Tertuduh, Mohd Irfan Azieyadi Abdul Aziz, 44, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Zulkifli Abllah.
Mengikut kertas pertuduhan pertama, Mohd Irfan didakwa menyamun pembantu kedai warga Pakistan, Sabz Ali Asef Khan dengan mengambil RM400 di sebuah kedai runcit di Kampung Beris Jambu, Pengkalan Chepa.
Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut pada jam 6.20 petang, 8 November lalu.
Dalam pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyamun seorang lagi pembantu kedai runcit berketurunan Pakistan, Amjad Ali Khan di sebuah kedai di Kampung Chempaka di sini pada jam 4.40 petang, 10 November lalu.
Kedua-dua pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun serta denda atau sebatan jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Hasyime Rosli manakala tertuduh diwakili peguam, Ahmad ‘Adha ‘Amir Yasser Amri.
Peguam tertuduh dalam rayuannya memohon agar tertuduh diberikan jaminan dengan alasan kehadirannya diperlukan dalam keluarga kerana isteri penghidap kanser ovari tahap tiga, diabetis dan asma.
“Tertuduh juga berpenyakit darah tinggi dan kehabisan ubat serta perlu menghadiri temu janji minggu ini,” kata Ahmad ‘Adha ‘Amir.
Kamarul Hasyime yang pada awalnya tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh seterusnya membantah permohonan itu kerana semua penyakit yang dinyatakan tidak ditunjukkan bukti dokumen.
Mahkamah bagaimanapun membenarkan tertuduh diikat jamin RM18,000 dengan dua penjamin bersyarat iaitu perlu mengemukakan alamat tempat tinggal tetap, tidak dibenarkan mengganggu saksi pendakwaan dan mangsa.
Tertuduh turut diarah melaporkan diri setiap dua bulan sebelum 5 hari bulan dan passport diserahkan kepada mahkamah.
Di Mahkamah Majistret pula, tertuduh mengaku tidak bersalah pertuduhan memberikan kepada dirinya sendiri dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine ketika berada di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, IPD Kota Bharu pada jam 3 pagi, 19 November lalu.
Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun selain pengawasan mandatori antara dua hingga tiga tahun mengikut Seksyen 38B, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan bagi kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Syamsul Ikhmal Ramli di hadapan Majistret, Rais Imran Hamid.
Tertuduh dibenarkan jamin RM4,000 bagi pertuduhan tersebut.
Mahkamah turut menetapkan 7 Januari 2026 sebagai tarikh sebutan semula bagi kesemua kes tersebut.





Komen