- kumara885
- 7 hari lalu
- 1 min membaca

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan bahawa waran tangkap terhadap ahli perniagaan, Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan telah dikeluarkan dan tindakan susulan kini sedang dijalankan bersama pihak berkuasa luar negara.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, pihaknya dimaklumkan bahawa individu berkenaan berada di luar negara dan usaha sedang diteruskan bagi tindakan lanjut.
“Tapi apa pun, semua sedia maklum bahawa beliau berada di luar negara. Kita telah mengeluarkan waran tangkap sebelum ini.
“Jadi, terdapat tindakan-tindakan yang sedang kita laksanakan dan memerlukan bantuan daripada negara yang berkaitan. Insya-ALLAH, kita akan cuba yang terbaik untuk menyelesaikan masalah ini,” katanya dalam sidang media sempena persiapan dan raptai Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Khamis.
Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay; Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri; Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus; dan Timbalan Pengarah Gerakan/Operasi Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Fisol Salleh.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan media yang mendakwa Muhammad Adlan, menantu kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kini menjalani kehidupan mewah di sebuah negara di Asia Barat sejak melarikan diri lebih dua tahun lalu.
Menjawab pertanyaan sama ada PDRM menerima maklum balas daripada Polis Antarabangsa (Interpol) berhubung permohonan notis merah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Khalid menjelaskan bahawa pihaknya belum menerima sebarang perkembangan.
“Setakat ini, kita tidak terima apa-apa lagi. Mungkin SPRM boleh menjawab persoalan itu,” tegasnya lagi.





Komen