top of page

KPWKM Rangka Pelan Hala Tuju Kesuburan Negara

  • kumara885
  • 19 Okt
  • 2 min membaca
ree

KUALA LUMPUR, 19 Oktober- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN)

sedang giat merangka Pelan Hala Tuju Kesuburan Negara yang bakal menjadi panduan dasar utama bagi memperkukuh ekosistem mesra keluarga dan menyokong kelestarian kesuburan penduduk.


Ia merupakan langkah dalam menangani isu penurunan kadar kesuburan nasional yang kini berada di bawah paras penggantian, kata Menterinya Yang Berhormat Dato Sri Hajah Nancy binti Shukri.


Katanya, proses merangka pelan ini bermula di Persidangan Kependudukan Kebangsaan

2023 (PERKKS 23), yang menghasilkan 15 resolusi strategik yang menekankan keperluan sokongan menyeluruh bagi menggalakkan peningkatan kadar kesuburan negara.


"Antara cadangan utama ialah penambahbaikan cuti bersalin dan cuti bapa, penyediaan insentif kewangan bagi kelahiran baharu, perluasan akses rawatan kesuburan, serta penggubalan dasar tempat kerja dan komuniti yang lebih mesra keluarga.


"Susulan itu, satu Expert Group Meeting (EGM) Pelan Hala Tuju Kesuburan Negara 2026 – 2030 telah diadakan dengan membincangkan dua fokus utama iaitu pembentukan polisi tempat kerja mesra keluarga dan peluasan akses rawatan kesuburan," kata beliau dalam Jawapan Bertulis Portal Rasmi Parlimen di sini.


Nancy berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kuala Nerus Dato' Dr. Haji Alias Bin Razak yang meminta Menteri KPWKM menyatakan pelan tindakan strategik Kerajaan dalam menangani isu penurunan kadar kesuburan nasional yang kini berada di bawah paras penggantian bagi mengelakkan risiko krisis demografi yang boleh menjejaskan kestabilan sosial dan pembangunan negara.


Dalam perkembangan sama, Nancy turut menambah bahawa antara cadangan intervensi utama yang dirumuskan termasuklah Pelaksanaan Indeks Tempat Kerja Mesra Keluarga Malaysia dan pengiktirafan “Family-Friendly Employer Certification”.


Katanya, pihaknya juga melaksanakan perluasan perkhidmatan kesuburan melalui integrasi rawatan di penjagaan primer dan perkongsian makmal awam-swasta; dan

Akses kepada pembiayaan perlindungan kesihatan kesuburan dalam skim insurans nasional serta insentif cukai.


Tegasnya lagi, sebagai inisiatif khas jangka panjang, kerajaan sedang membangunkan Pusat Subfertiliti Negara yang pertama di Malaysia dan disasar beroperasi di Shah Alam, Selangor pada tahun 2030.


"Ia bakal berfungsi sebagai pusat rujukan kesuburan utama negara yang akan menyediakan pelbagai kemudahan rawatan kesuburan yang moden dan menyeluruh pada kos berpatutan, khususnya untuk golongan berpendapatan rendah dan kurang berkemampuan.


"Semua langkah strategik ini menunjukkan komitmen Kerajaan yang utuh untuk menangani isu penurunan kadar kesuburan secara terancang demi menjamin kelestarian sosial dan pembangunan negara yang mampan," ujar beliau.


Komen


bottom of page