Lebih 6,000 iklan, kandungan penipuan media sosial dihapuskan - Bukit Aman
- kumara885
- 31 Okt
- 2 min membaca

KUALA LUMPUR - Lebih 6,000 kandungan penipuan dalam talian di platform media sosial berjaya diturunkan menerusi hasil tindakan pantas oleh pihak berkuasa sejak 2023 hingga September lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Komisioner Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, tindakan itu berjaya dilaksanakan melalui pemantauan berterusan oleh Unit Police Cyber Investigation Response Centre (PCIRC) di bawah Bahagian Siber, Taktikal dan Teknikal JSJK.
"PCIRC memantau kandungan dan iklan penipuan secara 24 jam setiap hari.
"Sejak tahun 2023 sebanyak 6,184 kandungan telah dikenal pasti dan berjaya diturunkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hasil permohonan yang dibuat oleh PCIRC," katanya.
Beliau berkata demikian kepada dalam sidang media tentang isu Semak Mule di Ibu Pejabat JSJK,Jalan Tun Razak pada Khamis.
Dalam perkara sama Rusdi juga menambah bahawa daripada jumlah itu penipuan pinjaman mencatat angka tertinggi iaitu sebanyak 4,557 kandungan, manakala penipuan pelaburan merekodkan 1,073 kes serta urusan jual beli dan penyewaan kad mesin juruwang automatik (ATM) (554).
Malh katanya, bagi tahun ini sahaja, sebanyak 3,179 kandungan telah diturunkan sejak Januari sehingga September lalu.
Rusdi juga menjelaskan bahawa, unit PCIRC bukan sahaja memantau kandungan berunsur jenayah siber, malah turut menganalisis data, menyediakan laporan siasatan dan membuat profil suspek bagi membantu siasatan lanjut.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran pelaburan dan pinjaman di media sosial, sebaliknya membuat semakan terlebih dahulu dengan agensi berkaitan seperti Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.
“Antara taktik biasa digunakan ialah meminta bayaran pendahuluan sebelum ‘pinjaman’ diluluskan. Selepas bayaran dibuat, sindiket akan menghilangkan diri.
"Saya mahu mengingatkan orang ramai bahawa meminjam atau menyewakan kad ATM kepada pihak ketiga adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 424 dan 137 Kanun Keseksaan, dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang terlibat," tegas beliau.





Komen