Lelaki abai nasihat kanak-kanak, mati selepas makan daging, telur Cicak Tokek
- S.KUMARA
- 6 hari lalu
- 1 min membaca

KEMBOJA (BANTEAY MEANCHEY) – Malang tidak berbau bagi seorang lelaki berusia 34 tahun apabila keseronokan makan telur cicak tokek akhirnya membawa maut.
Mangsa dipercayai mengalami keracunan makanan akibat memakan telur cicak tokek yang dipanggang di rumahnya.
Mangsa dikenali sebagai Khut Ratana dari kampung Russey Krak ditemui tidak bernyawa di bawah rumahnya sekitar jam 8.10 pagi (waktu tempatan) pada Rabu lalu.
Polis Daerah Mongkol Borei berkata, siasatan awal polis mendapati mangsa telah memakan telur cicak beracun sebelum meninggal dunia.
Dua kanak-kanak tempatan berusia 10 tahun, Chum Chrip dan Win Soklin memberitahu polis bahawa mereka melihat Ratana minum arak bersendirian di bawah rumah pada petang Selasa sebelum tiba-tiba seekor cicak melompat berhampirannya.
“Mangsa kemudian menangkap cicak itu, menyiangnya dan memanggangnya sebelum memakan daging serta telur haiwan berkenaan,” lapor Khmer Times.
Walaupun sudah dinasihati oleh kanak-kanak itu supaya tidak memakan telur cicak kerana dikhuatiri beracun, Ratana tidak mempedulikan amaran kanak-kanak itu dan meneruskan tindakannya.
Keesokan paginya, ibu kepada kanak-kanak berkenaan menyedari Ratana terbaring tidak bergerak di bawah buaian sebelum mendapati dia telah meninggal dunia lalu memaklumkan kepada pihak berkuasa serta-merta.
Hasil bedah siasat yang dijalankan oleh hospital ke atas mayat mangsa mengesahkan punca kematian adalah disebabkan oleh keracunan makanan.- malaysiatoday




Komen