top of page

Lelaki cederakan jurujual dengan pisau pemotong daging diberkas

  • Editorial
  • 21 Nov
  • 1 min membaca
ree

IPOH – Tindakan seorang lelaki yang disyaki mencederakan seorang jurujual dengan menggunakan pisau pemotong daging dalam kejadian yang berlaku di sebuah kedai di Jalan Bandar Timah di sini pada Khamis membawa padah.


Suspek berusia 30 tahun itu bagaimanapun berjaya ditangkap oleh polis pada hari sama selepas kejadian tersebut.


Polis menangkap suspek itu selepas mangsa yang bekerja sebagai jurujual membuat laporan polis sekitar jam 11.30 pagi.


Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad yang mengesahkan tangkapan itu berkata, siasatan awal polis mendapati suspek turut memecahkan cermin sebuah lori milik syarikat yang diletakkan berhampiran sebuah kedai pemborong mainan kanak-kanak.


Menurutnya, suspek telah bertindak melarikan diri ke sebuah kedai emas di Jalan Lahat sebaik menyedari kehadiran polis di lokasi kejadian.


“Suspek bagaimanapun berjaya ditahan. Turut dirampas daripada suspek ialah sebilah parang pemotong daging yang dipercayai digunakan dalam kejadian terbabit,” katanya ketika di sini.


Tambah beliau, berdasarkan pemeriksaan awal, lelaki warga tempatan itu bertindak demikian dipercayai akibat berada di bawah pengaruh dadah.


Katanya, semakan juga mendapati suspek mempunyai 12 rekod kesalahan lampau, melibatkan tujuh kes jenayah dan lima kes berkaitan dadah.


“Suspek mengaku terlibat dalam kejadian ini. Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan Seksyen 427 kanun sama kerana melakukan khianat,” ujarnya.


Terdahulu, tular satu video berdurasi 34 saat yang memaparkan seorang lelaki memegang sebilah pisau pemotong daging dan berdiri di hadapan sebuah kedai emas.



Komen


bottom of page