top of page

Lelaki hanyut di Pintasan Saloma: Kenderaan dinaiki mangsa ditemui

  • S.KUMARA
  • 19 Nov
  • 1 min membaca
Kenderaan pacuan empat roda dinaiki mangsa hanyut di sungai berhampiran Pintasan Saloma akhirnya ditemui hari ini.
Kenderaan pacuan empat roda dinaiki mangsa hanyut di sungai berhampiran Pintasan Saloma akhirnya ditemui hari ini.

KUALA LUMPUR - Sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Pajero yang hanyut bersama seorang lelaki dalam insiden kepala air di Sungai Klang berhampiran Jambatan Saloma akhirnya berjaya ditemui kira-kira 1.5 kilometer (km) dari lokasi asal kejadian pada Rabu.


Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Sazalee Adam mengesahkan bahaw kenderaan mangsa itu ditemui pada jam 8.30 pagi selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) disambung pada sebelah pagi tadi.


"Kenderaan berkenaan ditemui tanpa mangsa selepas paras air sungai turun hampir satu meter. Cuaca hari ini agak baik dan operasi SAR akan diteruskan sehingga 7 malam.


"Penemuan kenderaan ini membantu kita memfokuskan semula laluan arus yang mungkin membawa mangsa yang menaiki kenderaan tersebut," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian tengah hari tadi.


Tambah Sazalee lagi, kenderaan itu kemudian diserah kepada syarikat pemilik kenderaan itu.


"Semua aset dari Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) digembleng sepenuhnya termasuk 21 penyelam yang dibahagikan kepada empat zon pencarian.


"Dron, bot kecil dan kayak turut digunakan bagi menyusuri hampir 20 kilometer aliran Sungai Klang.


"Kita pecahkan kawasan kepada empat zon dan pencarian ini akan melepasi sempadan Selangor," katanya.


Beliau turut mengesahkan bahawa telefon mangsa yang dilaporkan masih berdering pada Selasa kini tidak lagi aktif, namun polis masih mendapatkan petunjuk untuk mengecilkan skop pencarian.

Komen


bottom of page