top of page

Lelaki hilang 45 tahun kembali kepada keluarga selepas ingatan pulih

  • EDITOR
  • 23 Nov
  • 2 min membaca
ree

SHIMLA – Seorang lelaki dari daerah Sirmaur, Himachal Pradesh yang hilang selama 45 tahun akhirnya kembali ke pangkuan keluarganya selepas mengalami hentakan kepala baharu yang memulihkan ingatannya semula.


Kisah meruntun jiwa itu bermula pada tahun 1980 apabila Rikhi yang ketika itu berusia 16 tahun hilang selepas mengalami kecederaan parah di kepala dalam satu insiden nahas jalan raya semasa bekerja di sebuah hotel di Yamunanagar, Haryana.


Akibat daripada hentakan kuat itu, dia telah hilang daya ingatan sepenuhnya sehingga tidak mengenali keluarga dan nama diri sendiri.


Rakan-rakan kenalannya kemudian telah memberika nama baharu, Ravi Chaudhary.


Tanpa sebarang memori mengenai masa lalunya, Rikhi berhijrah ke Mumbai dan menyara hidup dengan melakukan pelbagai pekerjaan kecil sebelum akhirnya menetap di Nanded, Maharashtra setelah memperoleh pekerjaan di sebuah kolej.


Di sana, beliau berkahwin dengan Santoshi dan dikurniakan tiga orang anak.


Namun, beberapa bulan lalu, satu lagi insiden kemalangan berulang dalam kehidupannya sehingga mengakibatkan kecederaan kepala sebelum mengubah hidupnya.


Selepas hentakan tersebut, gambaran samar tentang pokok mangga, lorong sempit dan halaman rumah di kampung asalnya, Nadi dekat Sataun, mula muncul dalam mimpinya.


Beliau akhirnya menyedari bahawa itu bukan mimpi, tetapi kenangan lama yang kembali.


Dengan bantuan seorang pelajar kolej, Rikhi mencari maklumat mengenai Nadi dan Sataun melalui Google.


Mereka menemui satu nombor telefon sebuah kafe dan menghubungi individu bernama Rudra Prakash.


Perkara itu kemudian sampai kepada seorang saudara Rikhi, MK Chaubey yang mengesahkan beberapa maklumat berkaitan identiti lama Rikhi.


Rentetan itu, beliau akhirnya disatukan semula dengan keluarganya di kampung Nadi.

Kepulangannya pada minggu lalu bersama isteri dan anak-anak disambut penuh emosi oleh ahli keluarga dan penduduk kampung.


Suasana hiba menyelubungi pertemuan semula itu apabila adik-beradik Rikhi menangis terharu melihatnya kembali selepas lebih empat dekad.


Beliau juga diberikan sambutan meriah dengan alunan muzik dan taburan bunga oleh penduduk kampung.


Menurut pakar kesihatan mental, Dr Aaditya Sharma kejadian pemulihan ingatan akibat kecederaan kedua sangat jarang berlaku.


“Walaupun tidak mustahil, kes seperti ini amat jarang didokumentasikan. Punca sebenar hanya dapat diketahui selepas pemeriksaan perubatan terperinci terhadap otak,” tegasnya lagi. - Agensi

Komen


bottom of page