Lelaki kantoi khalwat, panik pakai baju tidur Doremon milik kekasih
- S.KUMARA
- 20 Nov
- 1 min membaca

KULIM - Gara-gara panik setelah digempur penguat kuasa agama, seorang lelaki hanya sempat menyarungkan baju tidur milik teman wanitanya ketika dicekup berkhalwat dalam kejadian di sebuah premis bilik sewa di sini pada Khamis.
Lebih kelakar, lelaki berusia 23 tahun itu dilihat memakai baju yang mempunyai gambar kartun Doremon ketika pemeriksaan dibuat ke atas kedua-duanya yang berada dalam sebuah bilik pada jam lebih kurang 9.50 pagi.
Pegawai Penguatkuasa Agama Daerah Kulim, Anwar Sharifudin Mat Saad berkata, bekas pekerja kilang itu ditahan berkhalwat bersama pasangannya berusia 16 tahun yang dikatakan bekerja di sebuah pusat snooker.
"Remaja perempuan terbabit dikatakan baru bekerja sejak tiga bulan lalu dan menyewa bersama adik perempuan kekasihnya yang bekerja di tempat sama.
"Hasil soal siasat, mereka mengaku bukan suami isteri. Ketika ditangkap remaja perempuan memakai baju kelawar dan teman lelakinya memakai baju tidur bergambar kartun.
"Lelaki itu memberi alasan kononnya dia menumpang tidur di situ setelah menghantar teman wanita pulang dari tempat kerja," katanya.
Tegas beliau, semasa serbuan dibuat, mereka mengambil masa kira-kira satu minit sebelum pintu dibuka dan pemeriksaan menjumpai, lelaki tersebut berada di atas katil.
"Pemeriksaan juga mendapati, adik lelaki tersebut duduk di bilik sewa berasingan dalam premis yang sama," ujarnya lagi.
Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 25 (a) (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah (EKJSK) 2014 kerana disyaki berkhalwat. - malaysiatoday





Komen