top of page

Lelaki kereta 4x4 mati ditembak: Elemen kongsi gelap, dadah disiasat polis

  • S.KUMARA
  • 2 Dis
  • 1 min membaca
ree

SHAH ALAM - Polis Selangor sedang melakukan siasatan mendalam terhadap insiden seorang lelaki ditembak mati dalam pacuan empat roda di Taman Mesra Indah, Klang pada 29 November lalu dalam aspek atau elemen kongsi gelap dan juga dadah membantu kes tersebut.


Ketua Polis Selangor, Komisioner Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan menyeluruh masih dijalankan oleh polis bagi mengesan dan menjejaki suspek melakukan pembunuhan itu serta motif utamanya.


"Semakan awal polis dalam kes ini mendapati mangsa memiliki tiga rekod jenayah lampau kes dadah iaitu di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 15 akta sama.


"Mangsa berusia 26 tahun itu maut akibat terkena lima das tembakan dari jarak dekat di bahagian badan menggunakan senjata pistol oleh suspek," katanya dalam sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor pada pagi Selasa.


Beliau juga disoal pemberita sama ada kes tembak berkenaan mempunyai sebarang kaitan dengan satu lagi kes tembak di sebuah stesen minyak di Bukit Tinggi, Klang pada 7 November lalu.


Bagaimanapun Shazeli menjelaskan bahawa pada peringkat ini kedua-dua kes ini tidak mempunyai sebarang kaitan.


"Kes ini juga masih dalam siasatan kami dan seorang suspek telah diberi jamin polis," ujarnya.


Sebelum itu, Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan menerima maklumat pada jam 8.35 malam berhubung kejadian tembak di Taman Mesra Indah, Klang.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.


Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta tampil membantu siasatan dan berhubung dengan Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah, Asisten Superintenden Mohd Harman Mohd Haniff di talian 019-2100334 atau Bilik Gerakan IPD Klang Selatan di 03-33762222.- malaysiatoday.com.my



Komen


bottom of page