top of page
  • kumara885
  • 1 hari lalu
  • 1 min membaca
ree



AMPANG - Seorang lelaki tempatan ditahan polis selepas disyaki melakukan perbuatan khianat di sebuah rumah ibadat di Jalan Merdeka, Kampung Baru Ampang, di sini semalam.


Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, kejadian dilaporkan berlaku pada pukul 9 pagi ketika seorang lelaki berusia 49 tahun yang bertugas sebagai anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia mendengar kekecohan di sebuah restoran dalam kawasan kuil berkenaan.


“Pengadu kemudian pergi ke lokasi dan mendapati seorang lelaki dalam keadaan mabuk sedang bercakap sendiri serta merapu-rapu.


“Apabila diminta beredar, suspek bertindak menolak tempat pembakaran colok hingga menyebabkan abu colok terjatuh. Pengadu menahan lelaki tersebut sebelum menghubungi pihak polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Tambah Mohd Azam, suspek berusia 35 tahun berjaya ditahan oleh sepasukan anggota Balai Polis Ampang pada pukul 9.20 pagi hari sama selepas diserahkan oleh pengadu.


Katanya lagi, hasil semakan mendapati suspek memiliki lapan rekod lampau berkaitan kesalahan dadah, manakala ujian saringan air kencing mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.


"Siasatan awal polis mendapati suspek melakukan perbuatan khianat di rumah ibadat ketika berada di bawah pengaruh dadah dan alkohol.


“Permohonan reman terhadap suspek akan dibuat di Mahkamah Majistret Ampang hari ini(Rabu) untuk tindakan lanjut.


"Kita sedang menyiasat kes ini di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan," ujar beliau.


Komen


bottom of page