Lelaki mati berbalas tembakan dengan polis
- S.KUMARA
- 25 Nov
- 1 min membaca

SEPANG -Seorang penjenayah lelaki mati ditembak selepas berbalas tembakan dengan polis dalam kejadian yang berlaku di Batu 8, Jalan Banting - Dengkil di sini pada Isnin.
Polis memaklumkan bahawa kejadian berlaku pada jam lebih kurang 8.10 malam apabila sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Jenayah Berat (D9) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman sedang menjalankan operasi mengesan dan mencegah kejadian samun di sekitar Banting, Dengkil dan Sepang.
Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, kenderaan pasukan polis telah terserempak dengan sebuah kenderaan jenis Perodua Myvi dinaiki seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, suspek tiba-tiba telah melepaskan tembakan dari dalam kenderaan ke arah anggota polis.
"Pasukan polis telah membalas tembakan sehingga tiada ancaman keselamatan.
"Suspek yang dikenalpasti sebagai seorang warga tempatan telah disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan," katanya dalam kenyataan pada pagi Selasa.
Tambah beliau, pemeriksaan lanjut pasukan JSJ dalam kenderaan suspek berjaya menemui sepucuk senjata api jenis colt 45, tujuh paket lut sinar mengandungi serbuk kristal disyaki dadah dan tiga butir peluru jenama kynoch kaliber.45.
Tegas beliau, siasatan lanjut masih dijalankan oleh polis dalam kes ini.- malaysiatoday.com.my





Komen