top of page

Lelaki mati ditembak dalam pacuan empat roda di Klang

  • S.KUMARA
  • 30 Nov
  • 1 min membaca
ree

KLANG - Seorang lelaki maut ditembak dalam satu insiden yang berlaku di sekitar Taman Mesra Indah, Klang di sini pada malam Sabtu.


Mangsa dikenalpasti sebagai individu tempatan, namun butiran umur mangsa masih belum diterima setakat ini.


Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar mengesahkan bahawa pihaknya menerusi Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan menerima panggilan berkaitan kejadian pada jam 8.35 malam tadi.


"Satu kejadian tembak dipercayai berlaku di kawasan berkenaan dan panggilan dibuat orang awam berhubung kejadian.


"Setakat ini, motif kejadian masih dalam peringkat siasatan dan kes sedang disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya pada pagi Ahad di sini.


Beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut diminta menghubungi pihak polis untuk membantu siasatan.


"Sebarang maklumat berkaitan kejadian dapat disalurkan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah Asisten Superintenden Mohd Harman Mohd Hanif di talian 019-2100334.


"Selain itu, maklumat juga dapat disalurkan dengan menghubungi bilik gerakan IPD Klang Selatan di talian 03-33762222," katanya.


Terdahulu, tular video di media sosial memaparkan mangsa didapati terkulai dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda.


Dalam pada itu, seorang wanita dipercayai ibu mangsa tidak mampu menahan sebak apabila mengetahui anaknya maut ditembak dalam kejadian di sekitar Taman Mesra Indah, di sini, malam ini.


Wanita itu tiba di lokasi kejadian kira-kira jam 11.15 malam bersama beberapa individu lain mahu melihat keadaan mangsa namun dihalang anggota polis bertugas.


"Itu anak saya! Anak saya," katanya dalam keadaan sedih lalu ditenangkan anggota polis bertugas dan orang awam yang berada lokasi kejadian tersebut. - malaysiatoday.com.my



Komen


bottom of page