Lelaki mati ditembak di Klang dikehendaki polis, rekod jenayah SOSMA - Polis
- S.KUMARA
- 11 Nov
- 1 min membaca

SHAH ALAM - Seorang lelaki yang maut ditembak mati dalam satu insiden di sebuah stesen minyak di Bukit Tinggi, Klang, pada Jumaat 7 November lalu dipercayai berada dalam senarai dikehendaki pihak polis.
Ketua Polis Selangor Komisioner Datuk Shazeli Kahar berkata, semakan polis turut mendapati mangsa memiliki rekod jenayah di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
"Siasatan awal dijalankan polis mendapati mangsa merupakan antara individu yang dikehendaki polis.
"Malah, mangsa memiliki pelbagai rekod jenayah termasuk di bawah SOSMA," katanya dalam sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini pada Selasa.
Tambah beliau, siasatan yang dijalankan turut menjurus kepada pelbagai aspek termasuk latar belakang mangsa maut dalam kejadian tersebut.
"Polis turut menyiasat meliputi semua sudut termasuk kemungkinan penglibatan kumpulan haram dalam insiden ini.
"Setakat ini, kita berjaya memanggil dan merakam keterangan daripada tujuh individu melibatkan saksi kejadian di stesen minyak terbabit," jelas beliau.
Selain itu katanya, hasil bedah siasat yang dijalankan terhadap mayat mangsa bagi menentukan punca kematiannya mendapati mangsa telah ditembak beberapa kali di bahagian dada dan perut dalam insiden tersebut.
Menurut beliau, jenazah mangsa telah diserahkan kepada keluarganya selepas proses bedah siasat selesai dijalankan sebelum ini.
Terdahulu, suasana panik tercetus di sebuah stesen minyak di Bukit Tinggi apabila seorang lelaki ditembak beberapa kali oleh individu menaiki motosikal dalam kejadian pada Jumaat lalu.
Semasa kejadian, mangsa sedang mengisi minyak untuk keretanya sebelum ditembak oleh penunggang motosikal tidak dikenalinya itu.-malaysiatoday





Komen