Lelaki maut ditembak mati di stesen minyak, Klang
- S.KUMARA
- 8 Nov
- 1 min membaca

KLANG - Seorang lelaki tempatan maut ditembak dalam satu kejadian tembakan yang berlaku di sebuah stesen minyak Petronas di Klang Selatan, pada malam Jumaat.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar dalam satu kenyataan pada Sabtu mengesahkan mengenai kejadian tersebut.
Katanya, polis menerima laporan daripada orang awam berhubung kejadian berkenaan kira-kira pukul 11.13 malam tadi.
"Sepasukan anggota bergegas ke lokasi sebelum hasil siasatan awal mendapati mangsa merupakan seorang lelaki tempatan berusia sekitar 34 tahun dan tidak bekerja,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Tambah beliau, siasatan mendapati suspek telah melepaskan beberapa das tembakan di bahagian hadapan sebuah kereta, dan peluru telah mengenai bahagian depan badan mangsa.
"Kes sedang disiasat polis di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan motif kejadian masih dalam siasatan.
"Polis kini sedang giat mengesan suspek yang terbabit dalam insiden tembak ini.
"Orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah, ASP Aminuddin Mahadi di talian 013-2104006, atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan di talian 03-33762222," tegasnya lagi.
Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki parah ditembak dalam kejadian di sebuah stesen minyak berhampiran Bukit Tinggi di sini.
Mangsa berusia lingkungan 30-an itu dipercayai cedera di bahagian perut dan dada dalam kejadian berkenaan.
Semasa kejadian tersebut, mangsa dipercayai berdiri di sebelah kereta sebelum seorang wanita yang memandu kenderaan itu masuk ke stesen minyak.
Dua lelaki yang menunggang sebuah motosikal menghampiri dari arah hadapan sebelum pembonceng melepaskan tembakan ke arah mangsa.
Akibat tembakan itu, mangsa rebah sebelum kedua-dua lelaki yang menunggang motosikal tersebut melarikan diri dari lokasi kejadian.





Komen