Lelaki rakam wanita dalam tandas pusat beli-belah akhirnya tersungkur
- S.KUMARA
- 28 Nov
- 1 min membaca

KUALA TERENGGANU – Umpama setinggi-tinggi tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga, seorang lelaki yang giat diburu polis sejak seminggu lepas selepas disyaki menceroboh dan cuba merakam video seorang wanita dalam tandas sebuah pusat beli-belah di bandar raya ini akhirnya diberkas polis.
Suspek berusia 24 tahun itu dicekup dalam satu operasi yang dijalankan oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) kira-kira jam 11 pagi pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, tangkapan itu dibuat di sebuah kedai gunting rambut di Jalan Merbau, Kampung Bukit Kecil di Setiu.
"Siasatan awal mendapati suspek mengaku memasuki tandas wanita untuk merakam video wanita dalam tandas, namun tidak sempat berbuat demikian kerana telefon bimbitnya disimbah air oleh mangsa," katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.
Sebelum ini, pada 22 November lalu, Sinar Harian melaporkan polis giat memburu seorang lelaki memakai kemeja T putih tertera tulisan 'Aku Kuat, Aku Ultraman' yang dipercayai terlibat dalam insiden itu.
Lelaki berkenaan dikesan melarikan diri dari lokasi kejadian berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
Tambah Azli, permohonan reman ke atas suspek akan dibuat pada Sabtu bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan iaitu pencerobohan dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang berkaitan dengan perbuatan mengaibkan kehormatan seseorang," tegas beliau lagi.





Komen