- kumara885
- 13 Okt
- 1 min membaca

AMPANG - Gara-gara tidak puas hati dengan kelewatan proses permohonan pasport baharu, seorang lelaki warga Tajikistan yang mengugut dan mengganggu pegawai kedutaannya di sini telah ditahan polis.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, lelaki berusia 27 tahun itu mula menunjukkan sikap agresif sejak awal tahun ini apabila pasport baharunya tidak diproses seperti dijangka.
"Suspek datang ke pejabat Kedutaan Tajikistan untuk menuntut pasport baharu namun enggan mematuhi prosedur ditetapkan sebelum bertindak menjerit dan cuba memasuki premis itu tanpa kebenaran.
“Suspek turut dikesan berkeliaran pada waktu malam di kawasan kedutaan itu selain membuat panggilan telefon menggunakan kata-kata kesat dan ugutan lisan terhadap pegawai yang bertugas bertugas," katanya dalam kenyataan tengah malam.
Tambah beliau, siasatan mendapati suspek turut menghantar mesej mengancam akan membunuh diri di hadapan kedutaan berkenaan sekiranya permintaannya tidak dipenuhi, selain memuat naik video berunsur tohmahan terhadap pihak berkuasa Tajikistan di media sosial.
Katanya, bertindak hasil risikan dan maklumat yang diterima, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya telah menahan lelaki itu di kawasan Ampang pada jam 11.20 pagi, 8 Oktober lalu.
"Hasil pemeriksaan lanjut polis berjaya merampas sebuah telefon bimbit daripada suspek bagi membantu siasatan lanjut.
"Semakan polis juga mendapati suspek tidak memiliki sebarang rekod jenayah lampau dan hasil ujian saringan air kencing juga negatif dadah,” jelasnya.
Menurut Mohd Azam, suspek kini direman bagi membantu siasatan lanjut polis.





Komen