Lelaki tular bersilat di tanah perkuburan ditahan, positif dadah
- S.KUMARA
- Nov 26
- 1 min membaca

KLUANG - Seorang lelaki yang dipercayai melakukan aksi silat sambil memakai topi keledar di Tanah Perkuburan Kampung Melayu di sini, akhirnya berjaya diberkas polis.
Video individu berkenaan melakukan aksi silat telah tular di media sosial sehingga menjadi topik hangat awam.
Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, susulan tular video berkenaan sepasukan anggota dari Balai Polis Sri Lalang berjaya menahan lelaki berkenaan pada kira-kira jam 1 tengah hari pada Isnin.
“Suspek berusia 31 tahun itu ditangkap di tepi Jalan Merdeka, Sri Lalang.
"Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati lelaki itu disahkan positif dadah jenis methamphetamine.
"Suspek kini direman selama tiga hari sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan lanjut polis dalam kes tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini.
Tambah beliau, semakan lanjut mendapati suspek mempunyai empat rekod lampau membabitkan kes jenayah dan dadah.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," ujarnya.
Terdahulu, video berdurasi 27 saat itu yang menunjukkan aksi silat lelaki itu telah dirakam pengguna jalan raya sebelum dimuat naik ke laman sosial sehingga menimbulkan pelbagai reaksi awam.
Pada Ahad, Pejabat Kadi Daerah Kluang dalam kenyataannya memaklumkan tiada sebarang unsur pemujaan atau ritual bercanggah syarak di kawasan tanah perkuburan tersebut.





Komen