Lima pelajar dibuang sekolah, tiga digantung kerana bergaduh di sekolah
- S.KUMARA
- 28 Nov
- 1 min membaca

SUNGAI PETANI - Seramai lima pelajar telah dibuang manakala tiga lagi digantung selepas didapati terbabit dalam pergaduhan di sebuah sekolah di sini pada Isnin lalu.
Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah dalam kenyataan berkata, tindakan tegas diambil dan tiada kompromi terhadap isu buli, keganasan serta salah laku murid.
"JPN mengambil serius dalam insiden pergaduhan tersebut yang membabitkan sekumpulan pelajar dari sebuah sekolah menengah di sini.
"Pihak sekolah selesai menjalankan siasatan dalaman menyeluruh. Hukuman tegas gantung dan buang sekolah sudahpun diambil ke atas murid terlibat," katanya dalam kenyataan tersebut di sini.
Sebelum ini media melaporkan bahawa seorang pelajar tingkatan empat direman tiga hari bagi membantu siasatan berhubung kes seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun yang mendakwa dipukul sehingga pengsan di sebuah asrama di sini pada awal pagi Isnin.
Mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedar diri dalam tandas sekolah oleh guru sebelum dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata ibu mangsa menerima panggilan daripada guru sekolah itu pada jam 9.05 pagi, memaklumkan tentang anaknya ditemui pengsan dalam tandas.
Dalam pada itu, JPN turut menasihatkan semua institusi pendidikan di negeri ini agar mematuhi prosedur pengurusan disiplin semasa, mengutamakan keselamatan pelajar dan melaksanakan intervensi pencegahan bagi memastikan kesejahteraan seluruh warga pendidikan terpelihara.





Komen