top of page

Makmal dadah jenis heroin di rumah Bukit Mertajam digempur

  • S.KUMARA
  • 24 Nov 2025
  • 2 min membaca

GEORGE TOWN - Tindakan licik satu sindiket dadah yang menjadikan sebuah rumah kediaman di Bukit Mertajam sebagai makmal memproses dadah jenis heroin akhir terbongkar.


Makmal haram barang terlarang itu berjaya digempur oleh sepasukan dalam serbuan yang dijalankan pada Jumaat lalu.


Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, pembongkaran itu turut membawa kepada penahanan dua lelaki tempatan yang berperanan sebagai ahli kimia dan ‘runner’ sindiket tersebut.


Katanya lagi, kedua-dua suspek itu ditangkap oleh sepasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Pulau Pinang dalam dua serbuan berasingan yang dijalankan antara jam 4 petang Jumaat sehingga 5 pagi pada Sabtu.


"Serbuan pertama di Seberang Perai Tengah oleh anggota polis berjaya membawa kepada tangkapan seorang lelaki yang bertindak sebagai ahli kimia dan dipercayai memproses heroin di rumah tersebut.


"Hasil soal siasat terhadap suspek pertama membawa kepada serbuan kedua di daerah Kulim, Kedah sebelum membawa kepada penahanan seorang lagi suspek lelaki yang berperanan sebagai runner sindiket tersebut," katanya dalam kenyataan di sini.


Tambah Azizee, dalam serbuan itu polis menerusi pemeriksaan lanjut berjaya merampas tiga bungkusan plastik lutsinar berisi serbuk disyaki heroin base seberat 400 gram, selain bahan kimia cecair, peralatan memproses dadah serta sebuah motosikal.


Katanya, hasil siasatan lanjut mendapati sindiket dadah ini dipercayai aktif sejak Ogos lalu menjadikan rumah di Bukit Mertajam sebagai makmal memproses bahan terlarang itu.


"Hasil ujian air kencing ke atas kedua-dua suspek juga mendedahkan positif dadah dan semakan lanjut mendapati mereka memiliki rekod lampau membabitkan jenayah serta dadah.


"Kesemua dadah yang dirampas dan sitaan harta dianggarkan bernilai RM130,400.


"Kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 28 November ini bagi membantu siasatan lanjut polis di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika disabitkan bersalah," tegasnya lagi.

Komen


bottom of page