Medan selera pangsapuri digempur JIM, 113 PATI dicekup
- S.KUMARA
- 27 Nov
- 2 min membaca

PETALING JAYA – Taktik beberapa pendatang asing tanpa izin (PATI) yang cuba meloloskan diri dan bersembunyi daripada dicekup pihak berkuasa gagal apabila mereka tumpas di tangan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam dua operasi penguatkuasaan tergempar yang dijalankan berasingan sekitar Selangor sejak semalam.
Menurut JIM, operasi pertama dilaksanakan di sebuah medan selera pusat membeli-belah yang terletak di Sepang kira-kira pukul 11.45 pagi susulan aduan awam dan risikan selama dua minggu oleh Bahagian Penguatkuasaan, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.
“Seramai 47 pegawai diatur gerak ke lokasi berkenaan dan pemeriksaan dijalankan ke atas seramai 127 individu yang terdiri daripada 92 warga asing dan 35 warga tempatan.
“Hasilnya, seramai 17 warga asing yang terdiri daripada enam warga Myanmar, enam warga Indonesia, tiga warga Bangladesh dan dua warga China berusia lingkungan 20 hingga 35 tahun berjaya diberkas,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.
Imigresen turut menambah bahawa, operasi penguatkuasaan kedua dijalankan di lima blok pangsapuri di Klang pada 12.05 tengah malam tadi melibatkan seramai 91 pegawai Imigresen.
Katanya, dalam serbuan itu seramai 861 individu telah diperiksa terdiri daripada 707 warganegara asing dan 154 warga tempatan.
“Hasil pemeriksaan, seramai 96 warga asing membabitkan 38 warga Pakistan, 33 warga Myanmar, lapan warga Bangladesh, 11 warga Indonesia, empat warga India serta dua warga Nepal berumur antara 18 hingga 55 tahun berjaya ditahan atas pelbagai kesalahan Imigresen.
"Kesemua mereka ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Sebanyak tiga borang saman dikeluarkan kepada tiga warga tempatan yang bekerja di medan selera pusat membeli-belah berkenaan untuk hadir sebagai saksi.
“Kesemua warga asing yang ditahan telah ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Millenium untuk siasatan dan tindakan lanjut.
"JIM tidak akan berkompromi terhadap warga asing yang tinggal secara haram, tinggal lebih masa dan menyalahgunakan pas di negara ini.
“Tindakan tegas juga akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menggaji dan melindungi PATI,” tegas beliau.





Komen