top of page

Media Tamil perlu main peranan jadi suara komuniti - Teo

  • kumara885
  • 13 Okt
  • 2 min membaca
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berucap pada Majlis Penyampaian Sumbangan Tabung Kasih @ HAWANA sempena sambutan Deepavali di Wisma Bernama, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto BERNAMA
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berucap pada Majlis Penyampaian Sumbangan Tabung Kasih @ HAWANA sempena sambutan Deepavali di Wisma Bernama, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto BERNAMA


KUALA LUMPUR, 13 Oktober - Media Tamil perlu memainkan peranan penting sebagai jambatan budaya dan suara utama komuniti India di negara ini, menurut Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching hari ini.


Beliau berkata, media Tamil perlu sentiasa diberi peluang, sokongan dan latihan yang sewajarnya supaya mereka dapat terus berkarya selain menyumbang kepada pembangunan masyarakat serta negara.


Jelas beliau, pengamal media Tamil boleh mengikuti pelbagai kursus dan latihan antaranya anjuran Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) seperti Bengkel Asas Berlakon, yang terbuka kepada orang awam khususnya kepada komuniti India, dari 3 hingga 7 Mac lepas.


"Kursus ini memberi peluang kepada 30 peserta untuk mendalami asas seni lakonan, membina keyakinan diri serta membuka ruang kepada bakat baharu," katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sumbangan Tabung Kasih@HAWANA Sempena Sambutan Deepavali 2025 di Wisma Bernama di sini hari ini.


Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi) Kementerian Komunikasi Mano Verabathran, Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin serta Ketua Pengarang Bernama merangkap Pengarah Projek HAWANA 2025 Arul Rajoo Durar Raj.


Selain itu, beliau berkata isu ketiadaan Bahasa Tamil pada Welcome Wall di Menara Kuala Lumpur mendapat perhatian masyarakat India serta media tempatan awal September lepas, dan ia berjaya diselesaikan dengan segera.


"Apabila isu ketiadaan Bahasa Tamil menjadi tular, saya segera menghubungi pihak pengurusan Menara Kuala Lumpur agar bukan sahaja memasukkan Bahasa Tamil tetapi turut menambah baik paparan dengan memasukkan Bahasa Kadazan dan Iban," katanya sambil menambah kini 24 bahasa dipaparkan bagi mencerminkan semangat kepelbagaian di Malaysia.


Teo turut merakamkan penghargaan Kementerian Komunikasi terhadap jasa pengamal media yang berperanan di balik tabir penyampaian maklumat dan berita.-BERNAMA


Komen


bottom of page