top of page

MIC-BN bukan musuh, sedia untuk bertemu - Presiden MIC

  • EDITOR
  • 21 Nov
  • 1 min membaca
ree

SHAH ALAM - Parti ketiga terbesar perikatan komponen Barisan Nasional menyatakan kesediaannya untuk bertemu dengan kepimpinan tertinggi BN sekiranya dipelawa bagi membincangkan masa depan parti itu dalam gabungan tersebut, lapor Sinar Harian.


Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran dilaporkan berkata, MIC tidak pernah menganggap gabungan yang dipimpin Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu dan UMNO sebagai musuh mereka.


“Buat masa ini kita belum dapat jemputan untuk adakan pertemuan dengan BN. Boleh berjumpa bila-bila masa.


"Semua orang kena faham BN atau UMNO dengan MIC bukan musuh pun, kita bersama lebih 60 tahun sejak Kemerdekaan.


“Apa yang kita buat ini demi masa depan parti kerana kita lihat MIC tidak diberikan ruang dan apabila sesuatu keputusan diambil bukan bermakna MIC hendak ugut sesiapa, MIC tidak pernah macam itu dan tidak pernah hendak mengecilkan hati sesiapa,” katanya seperti dipetik akhbar tersebut.


Pada Rabu lalu, Pengerusi BN Ahmad Zahid memuji usaha Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan yang mahu mengatur perjumpaan dengan pimpinan tertinggi MIC untuk perbincangan disifatkan sebagai pendekatan terbaik.


Sebelum itu, perwakilan MIC sebulat suara menyokong usul menamatkan penyertaan dalam BN dan menyerahkan kepada kepimpinan parti untuk menentukan masa yang sesuai bagi berbuat demikian serta membentuk jajaran baharu dalam Perhimpunan Agung Tahunan MIC ke-79 yang berlangsung di Shah Alam 16 November lalu.


Komen


bottom of page