MIC tak perlu tangguh keluar BN lagi, sila terus terang kepada masyarakat
- Editorial
- 20 Nov
- 2 min membaca

KUALA LUMPUR - MIC tidak seharusnya menangguhkan keputusan untuk keluar daripada komponen Barisan Nasional (BN) kerana perwakilan parti itu sebulat suara menyokong resolusi menamatkan penyertaan parti dalam gabungan itu dalam Perhimpunan Agung MIC pada 16 November lalu, lapor Sinar Harian semalam.
Bekas Ketua MIC Bahagian Sungai Siput, K.Mani Maran dipetik portal berita Sinar Harian berkata, menjadi amalan sebelum ini iaitu mana-mana usul yang diluluskan di dalam perhimpunan agung MIC sebulat suara boleh dilaksanakan serta-merta.
Menurut Manimaran, pimpinan tertinggi MIC juga tidak wajar mencari alasan dengan menyalahkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai justifikasi mudah untuk keluar daripada BN yang dianggotai sejak Merdeka lagi.
"Perwakilan MIC sudah buat keputusan jadi mahu tunggu apa lagi? Sudah lebih setahun kata mahu keluar BN tiba-tiba nak tangguh untuk bincang dalam majlis tertinggi. Saya nampak seolah-olah ada agenda peribadi.
"Jika begitu, jangan salahkan UMNO dan BN sebab kita sahabat dan berjuang lebih 70 tahun. Nak keluar, keluar sahaja, tak perlu pusing sana pusing sini," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Mani Maran menambah bahawa, MIC harus berterus terang kepada rakyat apa sebenar yang mereka mahukan kerana jika jawatan di dalam Kabinet hanya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh menentukan, bukan Ahmad Zahid.
Jelasnya, jika keputusan untuk keluar daripada BN disebabkan kepentingan peribadi maka adalah satu kerugian buat masyarakat India kerana MIC merupakan salah satu pengasas gabungan parti tertua di negara ini.
Menurutnya, keputusan MIC itu dilihat terburu-buru tidak seperti mana MCA yang memilih jalan sebaliknya biarpun tidak diberikan sebarang jawatan di dalam kerajaan.
Dalam pada itu, beliau mendedahkan masyarakat India tidak dipinggirkan kerajaan negeri Perak yang dipimpin Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad selaku Pengerusi BN negeri.
"Di Perak, bukan sahaja peruntukan khusus disediakan kepada masyarakat India malah pemimpin MIC turut diberikan jawatan di dalam GLC (syarikat berkaitan kerajaan) dan dilantik sebagai ahli majlis PBT (pihak berkuasa tempatan).
"Jadi saya tidak nampak orang India dipinggirkan termasuklah MIC di Perak ini," katanya lagi.
"Keputusan dibuat oleh perwakilan MIC itu merugikan ahli serta penyokong yang memerlukan bantuan daripada kerajaan," ujarnya lagi.





Komen