Model Rusia lapor polis dakwa dimalukan pempengaruh dengan kata-kata lucah
- S.KUMARA
- 8 Nov 2025
- 1 min membaca

KUALA LUMPUR - Seorang model warga Rusia, Alisa Kasimova, 26, tampil membuat laporan polis selepas mendakwa dirinya menjadi mangsa kata-kata berbaur lucah daripada seorang pempengaruh tempatan ketika sedang makan di sebuah restoran di Bukit Bintang di sini baru-baru ini.
Difahamkan, mangsa membuat laporan berkenaan di Balai Dang Wangi pada Jumaat.
Selain itu, rakaman yang memaparkan kejadian itu juga telah tular di media sosial.
Alisa berkata, laporan itu dibuat selepas mendapat nasihat dan pandangan daripada orang di sekeliling yang bimbang mengenai keselamatannya.
“Ramai yang meminta saya tampil membuat laporan polis, jadi saya sudah pergi ke balai untuk membuat laporan.
“Saya melakukannya bukan kerana marah tetapi jika berdiam diri ia hanya akan melindungi mereka yang menyakiti orang lain,” katanya menerusi Threads pada Jumaat.
Tambah Alisa, amat menyedihkan melihat seorang lelaki bercakap begitu terhadap seorang wanita.
Katanya, pengalaman tersebut memang menyedihkan, tetapi tindakan seorang individu tidak mencerminkan keseluruhan tempat.
Sementara itu, pempengaruh lelaki terbabit tampil memohon maaf selepas teruk dikecam.
Media sedang berhubung dengan polis untuk mendapatkan pengesahan mengenai insiden dan laporan polis tersebut.-malaysiatoday





Komen