top of page

Muhyiddin sahkan MIC ada mohon sertai PN

  • Editorial
  • 1 Dis
  • 1 min membaca
ree

SHAH ALAM -Perikatan Nasional (PN) hari ini telah mengesahkan bahawa pihaknya menerima permohonan daripada MIC untuk menyertai gabungan parti tersebut.


Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin dipetik Free Malaysia Today berkata, permohonan parti komponen Barisan Nasional (BN) itu akan diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN tidak lama lagi.


"Kita tidak dapat mengadakan mesyuarat Majlis Tertinggi PN sebelum ini kerana fokus tertumpu pada kempen Pilihan Raya Negeri (PN) Sabah.


“Saya telah beritahu Presiden dan Setiausaha Agung MIC bahawa kami akan membincangkan permohonan ini dengan terperinci selepas pilihan raya Sabah.


“Secara prinsipnya, semua parti PN menyambut baik MIC, tetapi keputusan muktamad akan dibuat oleh Majlis Tertinggi PN,” katanya pada sidang media selepas menghadiri konvensyen Urimai di IDCC pada Ahad.


Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang merupakan serpihan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) turut memohon untuk menyertai gabungan itu dan ia juga akan dibincangkan bersama pada Majlis Tertinggi PN.


Sebelum ini MIC dilaporkan bahawa bersedia untuk menamatkan keanggotaan sebagai komponen BN dan bersedia untuk memohon secara rasmi menyertai PN.


Itu antara tiga usul yang dikemukakan oleh perwakilan MIC dalam Perhimpunan Agung Tahunan MIC ke-79 yang diadakan pada 16 November lalu di Shah Alam.


Spekulasi mengenai hala tuju masa depan MIC telah berlarutan beberapa bulan, dengan parti itu dikatakan tidak puas hati terhadap kedudukan mereka dalam politik tanahair bersama komponen BN.


MIC merupakan parti politik di Malaysia dan merupakan salah satu pengasas gabungan BN sebelum ini dikenali sebagai Perikatan, yang memerintah sejak negara mencapai kemerdekaan pada 1957.



Komen


bottom of page