Muhyiddin sukar didekati, akar umbi selesa dengan Hamzah - Wan Ahmad Fayhsal
- kumara885
- 1 Nov
- 1 min membaca

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dalam perkembangan terkini mendakwa kononnya Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin mempunyai personaliti yang sukar untuk didekati.
Katanya, disebabkan sikap yang dimiliki Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu membuatkan pemimpin akar umbi lebih selesa dengan Timbalan Presidennya, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Beliau bagaimanapun menjelaskan bahawa tiada siapa dalam parti berkenaan membenci Ahli Parlimen Parlimen Pagoh tersebut seperti dikotak-katikkan pihak tertentu dalam parti sejak akhir-akhir ini.
"Beliau (Muhyiddin) tidak kenal pun semua Ketua Bahagian Bersatu dalam Malaysia berbanding Datuk Seri Hamzah. Saya boleh jamin, kalau hari itu ada pertembungan satu lawan satu (merebut jawatan presiden) antara kedua-duanya, Tan Sri Muhyiddin boleh kalah.
"Ini kerana akar umbi sememangnya bersama Datuk Seri Hamzah sebab beliau yang menanggung kos menjaga bahagian, menanggung PN, memimpin kami, beliau tidak lokek duit, masa dan persahabatan.
"Sebab itulah Datuk Seri Hamzah pemimpin sebenar dalam Bersatu," katanya ketika Pogram Interviu bertajuk Bersatu Berpecah?: Apa Kata Fayhsal, Faisal yang disiar secara langsung di semua platform Sinar Harian pada malam Jumaat.
Pada 14 Oktober lalu, Lembaga Disiplin Bersatu menggantung keahlian Wan Fayhsal untuk satu penggal serta memecat Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi parti merangkap Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan, bersama empat ketua bahagian.
Lembaga berkenaan ketika itu menyatakan mereka didapati bersalah melanggar perlembagaan parti serta Kod Etika dan Tatakelakuan Bersatu.





Komen