top of page

MyKad baharu serba canggih dengan kod QR bakal diperkenal Jun 2026

  • Editorial
  • 26 Nov
  • 2 min membaca
ree

KUALA LUMPUR - Kerajaan menerusi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bakal memperkenalkan kad pengenalan atau MyKad generasi baharu yang serba moden dan canggih berkuatkuasa 1 Jun 2026 nanti.


Dewan Rakyat pada Rabu diberitahu bahawa Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kini dalam fasa akhir memuktamadkan perolehan kad pengenalan struktur baharu bagi menggantikan kad pengenalan sedia ada yang dikeluarkan kepada rakyat sejak tahun 2012.


Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, penggantian kad pengenalan berstruktur baharu ini akan memastikan kad pengenalan yang dikeluarkan JPN mempunyai ciri-ciri keselamatan yang tinggi, selamat dan dipertingkatkan selari dengan perkembangan teknologi keselamatan terkini.


"Kad pengenalan baharu ini juga bagi membendung sebarang insiden dan percubaan untuk memalsu dan menyalahgunakan kad pengenalan yang merupakan dokumen penting bagi rakyat Malaysia.


"MyKad generasi baharu ini diperbuat daripada bahan policarbonat serta dilengkapi cip keselamatan berkapasiti storan lebih besar dengan piawaian keselamatan dan penyulitan dipertingkatkan bertujuan membendung pemalsuan kad pengenalan da kebocoran data.


"Malah, reka bentuk kad pengenalan generasi baharu ini akan tampil lebih moden dengan elemen torehan laser dan hologram lebih maju selaras dengan perkembangan teknologi terkini dan ciri keselamatan yang tinggi," katanya semasa sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, Parlimen hari ini.


Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan sesi pertanyaan Lisan daripada Ahli Parlimen Tenggara, Manndzri Nasib yang meminta KDN menyatakan tentang status terkini berkenaan kad pengenalan generasi baharu yang bakal diperkenalkan kerajaan bagi menggantikan kad pengenalan sedia ada.


Tambah Shamsul Anuar lagi, KDN melalui JPN sedang menjalankan kajian pasaran bagi memastikan pelaksanaan kad pengenalan generasi baharu itu memenuhi prinsip nilai faedah terbaik untuk memastikan kos pengeluaran tidak membebankan kerajaan, selain menjamin penggunaan sumber secara optimum.


Dalam perkembangan sama, Shamsul Anuar turut menjawab soalan tambahan daripada Ahli Parlimen Besut Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh mengenai jumlah kes pemalsuan kad pengenalan yang direkodkan oleh JPN.


Katanya, sepanjang tahun 2022 hingga 31 Oktober 2024, sebanyak 2,103 operasi dan penguatkuasaan dilakukan di seluruh negara melibatkan 1,606 operasi penguatkuasaan oleh JPN dan 497 operasi bersepadu bersama agensi pihak berkuasa.


"Hasil daripada operasi terbabit katanya, JPN telah berjaya menahan seramai 519 individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.


"Daripada jumlah tersebut, seramai 190 individu didakwa di bawah Peraturan 25 (1) (e) iaitu 130 orang melibatkan kad pengenalan palsu dan 60 individu melibatkan kesalahan memiliki kad pengenalan orang lain.


"Sebab itu kita lihat ada keperluan untuk membangunkan (kad pengenalan) berteknologi lebih terkini supaya isu-isu ini dapat ditangani dengan baik dan berkesan," jelasnya lagi.- malaysiatoday.com.my

Komen


bottom of page