Myvi terjunam rempuh pagar rumah
- Editorial
- 25 Nov
- 1 min membaca

SEREMBAN - Kebimbangan seorang penduduk di Taman Nusari Bayu 1 di sini bahawa kemungkinan suatu hari nanti ada kenderaan dari jalan utama yang terjunam ke rumahnya akhirnya menjadi nyata, lapor Sinar Harian.
Dalam kejadian jam 8.40 pagi, sebuah kereta Perodua Myvi telah hilang kawalan dan terbabas sebelum terjatuh dari ketinggian 10 meter lalu merempuh pagar rumah milik lelaki bernama Amirul Zaki Abd Rahim, 35.
Bagaimanapun pemandu wanita berusia 33 tahun itu terselamat tanpa sebarang kecederaan dalam kejadian itu.
Amirul Zaki yang merupakan seorang guru berkata, jirannya membuat panggilan video memaklumkan tentang kereta merempuh kediamannya dan memintanya segera pulang ke rumah.
Bila sampai, saya tengok ada kereta Myvi terbalik di bahagian tepi garaj rumah yang merupakan tempat anak-anak saya bermain.
"Tapi pemandunya sudah tiada dan jiran saya beritahu suami mangsa telah hantarnya ke hospital untuk pemeriksaan lanjut," katanya.
Dia bersyukur kerana kenderaan terlibat hanya terbalik di bahagian tepi, tidak melibatkan struktur rumahnya.
Menurutnya, itu bukan kali pertama kemalangan berlaku di kawasan berkenaan dan pernah melibatkan kematian sebelum ini apabila sebuah kereta dari bahagian atas jalan terbabas.
"Sebab itulah di bahagian atas tepi jalan itu pihak berkuasa telah letakkkan penghadang konkrit sebab nak elak kemalangan seumpama itu terjadi," katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut.
"Individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini boleh berhubung dengan pegawai penyiasat kes iaitu Inspektor Nor Fadzilah Mohd Zainuddin di talian 019-4611794 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
"Kes berkenaan sedang disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (LN 166/59) dan siasatan lanjut masih diteruskan," tegasnya lagi.





Komen