Nelayan sekongkol cuba seludup dadah bernilai RM196 juta gagal
- Editorial
- 26 Nov
- 1 min membaca

SHAH ALAM - Helah lapuk dan taktik penyeludupan dadah melalui perairan negara terus dibongkar Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), dengan rekod rampasan barang terlarang itu mencecah RM196 juta sepanjang tempoh 10 tahun, lapor Sinar Harian pada Rabu.
Statistik sejak tahun 2015 itu mencatatkan rampasan pelbagai jenis dadah lebih 6,500 kilogram (kg).
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, pelbagai modus operandi melibatkan rangkaian sindiket pengedaran dadah di perairan negara telah dikesan.
Menurutnya, kebanyakan tangkapan dan rampasan dibuat ialah kes cubaan pengedaran dadah rentas sempadan laut antara Malaysia-Indonesia-Thailand.
"Aktiviti pengedaran dadah disyaki dilakukan di sempadan perairan Malaysia bagi mengelak kehadiran penguat kuasa di mana sindiket akan memasuki perairan negara lain apabila menghidu kehadiran penguatkuasa Malaysia.
"Selain itu, sindiket didapati menggunakan bot laju fiber atau bot nelayan (kayu) untuk melintasi sempadan perairan.
"Mereka (sindiket) juga menggunakan penglibatan nelayan atau komuniti maritim untuk memantau pergerakan atau operasi penguat kuasa," katanya.
Beliau berkata, penglibatan kru nelayan warga asing juga digunakan sindiket bagi aktiviti pengedaran dadah.
Tambah Mohd Rosli, lorong-lorong tikus yang sukar dikesan juga digunakan sindiket untuk menjalankan aktiviti pengedaran dadah rentas sempadan.
Jelas beliau, bagi tempoh 10 bulan tahun ini setakat Oktober, enam kes direkodkan dengan tangkapan dua warga Indonesia membabitkan rampasan dadah mencecah RM25.98 juta.
"Antara jenis dadah yang dirampas ialah syabu, yaba, ekstasi, heroin dan ganja," ujarnya.





Komen