top of page

Pandu lori lawan arus 150KM elak pemeriksaan polis

  • EDITOR
  • 30 Nov
  • 2 min membaca
ree

KUALA LUMPUR - Tindakan biadab seorang seorang lelaki yang melarikan diri dengan memandu lori secara merbahaya dan melawan arus sejauh 150 kilometer bagi mengelak pemeriksaan polis memakan diri.


Usaha suspek meloloskan diri bagaimanapun gagal apabila dia akhirnya dikepong MPV peronda polis dan ditahan di Taman Bunga Raja Bukit Beruntung, Hulu Selangor, awal pagi Ahad.


Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintenden Ibrahim Husin berkata, pusat kawalan sebelum itu menerima panggilan daripada unit kereta peronda (MPV) pada 5.35 pagi yang memaklumkan tentang sebuah lori dipandu lelaki berusia 40 tahun enggan berhenti apabila diarahkan polis untuk pemeriksaan.


“Pemandu terbabit telah memandu keluar ke arah Lebuhraya Utara Selatan melalui Tol Bukit Beruntung dan memandu melawan arus sejauh 150 kilometer melibatkan laluan menghala ke Tol Tanjung Malim dan Tol Sungai Buloh sebelum berpatah balik ke Tol Bukit Beruntung.


“Selain memandu secara berbahaya, lelaki itu juga cuba melanggar kenderaan MPV ketika anggota cuba memberhentikan lori tersebut di kawasan berhampiran Tol Bukit Beruntung,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.


Bagaimanapun tiga MPV dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor yang mengejar lori suspek berjaya memintas dan menahan pemandu lori itu di Taman Bunga Raja Bukit Beruntung.


Tambah Ibrahim lagi, hasil ujian saringan air kencing mendapati lelaki terbabit positif dadah jenis syabu.


"Semakan rekod ke atas suspek juga mendapati dia memiliki dua rekod melibatkan kesalahan jenayah dan dadah.


"Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Kubu Baharu pada Isnin untuk permohonan reman bagi membantu siasatan lanjut.


"Kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 307 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan serta Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Terdahulu, media melaporkan bahawa aksi sebuah lori dipandu secara melawan arus di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Bukit Beruntung sehingga hampir menyebabkan kemalangan tular di medi sosial.


Komen


bottom of page